IPOH - Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada hari ini menjelaskan faktor yang menyebabkan masih terdapat individu tanpa rasa malu melakukan pelbagai kemungkaran seperti bersifat munafik, rasuah dan pecah amanah.
Berdasarkan teks khutbah bertajuk Al-Quran: Mukjizat Kurniaan Ilahi, situasi tersebut berlaku apabila ayat al-Quran dibaca tanpa fahaman dan penghayatan maka roh al-Quran tidak akan meresap serta hidup dalam jiwa seseorang.
"Kerana itu pada hari ini, kita menyaksikan masih terdapat orang-orang yang tanpa segan silu dan tanpa malu melakukan pelbagai kemungkaran.
"Seperti bersifat munafik, berdusta, merompak dan mencuri, melakukan rasuah dan pecah amanah, mengamalkan riba, berzina, derhaka kepada ibu bapa dan sebagainya,” kata khutbah berkenaan.
Tegas khutbah itu, untuk mencapai tahap kegemilangan, umat Islam wajib berpegang kepada al-Quran dengan menghayati seluruh nilai yang ada untuk diamalkan sepenuhnya.
Ujarnya, al-Quran memiliki kelebihan dan keistimewaan serta berperanan sebagai panduan kehidupan dan petunjuk.
"Merupakan sumber rujukan yang lengkap mengenai pelbagai aspek kehidupan. Merangkumi perundangan, pentadbiran, politik, peperangan, sosial, ekonomi, sains, teknologi, kebajikan, kekeluargaan.
"Dan pelbagai perkara lagi yang bertunjangkan prinsip keadilan sejagat,” katanya.
Khutbah berkenaan turut menjelaskan bahawa pendidikan al-Quran hendaklah bermula dari awal dengan nilai yang terkandung dalam kitab itu disemai sejak anak-anak masih kecil.
Pelbagai usaha perlu dirintis untuk menghidupkan minat anak-anak mencari rahsia yang dapat membantu mereka memahami tujuan al-Quran diturunkan selain rahmat dan pelajaran yang terkandung di dalamnya.