KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi membantu mencari penyelesaian isu kenaikan harga tiket bas ekspres dan kapal terbang sempena musim perayaan Aidilfitri ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata dalam hal itu, ia adalah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT) namun boleh dibantu kementeriannya.
"Seeloknya Kementerian Pengangkutan yang beri penjelasan. Memang daripada menjaga harga di bawah KPDNHEP tapi harga ini pelbagai dan dikawal selia agensi-agensi dan kementerian lain.
"Namun kita akan berunding dengan Kementerian Pengangkutan apa peranan yang KPDNHEP boleh bantu.
"Bagi harga tiket kapal terbang, saya difahamkan Kementerian Pengangkutan bersama agensi di bawahnya sedang mencari penyelesaian. Namun, setakat ini kami di KPDNHEP belum terlibat," katanya pada Sidang Media sempena Majlis Majlis Sambutan Ulang Tahun SSM Ke-20 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan kenaikan harga tiket bas ekspres.
Media melaporkan, harga tiket bagi kemudahan itu naik antara 10 hingga 20 peratus.
Kenaikan tersebut berkuat kuasa sepanjang tempoh sah laku Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang bermula 29 April hingga 8 Mei ini.
Manakala, isu tiket kapal terbang khususnya ke Sabah juga dilaporkan melonjak 20 kali ganda.