SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Bakal pengantin baharu yang akan melangsungkan hari bahagia pastinya memilih busana atau tema yang menarik untuk ditampilkan di hari penuh bermakna itu.
Berbeza bagi pasangan pengantin yang akan bergelar doktor ini, Nurul Mahfuzah Ahmad Yani dan Amir Mohd Rawi memilih menggayakan jubah konvokesyen sewaktu majlis persandingan mereka yang berlangsung di Dewan Karangkraf, hari ini menarik minat tetamu yang hadir.
Nurul Mahfuzah dan Amir merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal menerima ijazah masing-masing pada sidang kedua Majlis Konvokesyen UiTM ke-90 di Shah Alam hari ini.
Nurul Mahfuzah berkata, rakan-rakan seperjuangan memilih memakai jubah konvokesyen sebagai merakam hari bersejarah perkahwinannya yang berlangsung sehari sebelum konvokesyen.
Dia yang juga anak kepada salah seorang kakitangan Kumpulan Media Karangkraf, Ahmad Yani Abd Manaf tidak sangka kenalannya termasuk pensyarah hadir meraikan majlis perkahwinannya dan sempat bergambar bersama pakaian konvokesyen.
"Bagi saya idea yang kami tampilkan ini sebenarnya spontan, namun kenangan ini tidak akan kami lupakan dan akan diabadikan dalam hidup kami.
"Sebelum ini tak pernah terfikir langsung hendak mengenakan jubah konvokesyen di hari bahagia kami, tetapi disebabkan majlis persandingan kami sehari sebelum hari konvokesyen sebenar, jadi kami teruskan niat itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menceritakan detik perkenalan Nurul Mahfuzah dan Amir ini, mereka pada awalnya hanya sebagai teman kuliah.
Namun selepas ditempatkan di hospital yang sama, hubungan mereka mula rapat dan Amir mula melamarnya sebagai isteri.