Kerani wanita rugi RM152,500 angkara kasanova

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Seorang kasanova diberkas dipercayai menipu seorang kerani sebuah syarikat swasta melibatkan kerugian sebanyak RM152,500 pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, suspek berumur 34 tahun itu diberkas di sekitar kawasan Lembah Kelang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja itu dipercayai sering melakukan kegiatan menipu untuk menyara hidup.

"Tangkapan yang dijalankan terhadap suspek turut membawa kepada rampasan tiga jenis telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM18,000, sembilan keping jongkong emas pelbagai berat dan lapan keping dinar pelbagai berat dengan anggaran keseluruhan barang kemas bernilai RM30,000.

Iklan

"Suspek kini direman empat hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa berumur 39 tahun itu dipercayai telah berkenalan dengan suspek sejak 6 Februari lalu melalui sebuah laman sosial.

Iklan

"Suspek turut berjanji akan berkahwin dengan mangsa dan meminta bantuan mangsa dari segi kewangan untuk membayar hutang peribadi suspek dan perbelanjaan perkahwinan," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah berjumpa dengan suspek di sebuah bilik hotel di ibu negara dan menyerahkan barang kemas bernilai RM30,000.

Katanya, dalam perjumpaan yang lain, suspek menunjukkan dokumen pembelian rumah kepada mangsa dan meminta bantuan mangsa untuk berkongsi pembayaran wang deposit pembelian rumah tersebut.

"Mangsa kemudiannya telah memberikan wang tunai sebanyak RM122,500 kepada suspek secara berperingkat," katanya.

Tambahnya, mangsa yang kemudiannya mendapat tahu bahawa suspek pernah melakukan perkara yang sama terhadap beberapa mangsa lain di hotel yang sama telah tampil dan membuat laporan polis.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dalam menggunakan laman sosial, dinasihatkan supaya membuat semakan latar belakang terlebih dahulu sebelum memulakan komitmen percintaan.

"Pihak polis juga menasihatkan orang ramai untuk segera tampil membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa di dalam kes penipuan ini," katanya.