ePemula pupuk budaya transaksi tanpa tunai

Iklan
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR- Program ePemula bernilai RM300 juta yang dilancarkan hari ini, dijangka terus menyumbang kepada pembudayaan transaksi kewangan tanpa tunai dalam negara, khususnya dalam kalangan belia dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini dapat dilihat menerusi jumlah transaksi tanpa tunai yang meningkat sebanyak 74.4 peratus kepada 1.1 bilion pada 2021 berbanding 2020.

Iklan
Iklan

Malah, katanya, ini jelas menggambarkan bahawa peniaga serta pengguna semakin selesa menggunakan kemudahan tanpa tunai termasuk di kedai-kedai.

"Melalui Program ePemula, kerajaan berharap agar momentum e-tunai ini kekal, terutamanya bagi meneruskan usaha kerajaan dalam memacu penggunaan perkhidmatan kewangan digital.

Iklan

"Pelaksanaan e-tunai bukan sahaja memudahkan pengguna, tetapi turut mengutamakan aspek keterangkuman, keselamatan dan ketelusan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ePemula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Cyberjaya, hari ini.

Syarikat penyedia e-dompet yang mengambil bahagian bagi inisiatif Pemula adalah BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

Iklan

Program ePemula juga merupakan kerjasama Kementerian Kewangan bersama kementerian lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Seni & Budaya serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Pada akhir tahun lalu, Malaysia telah mencatat peningkatan hampir 60 peratus bagi pendaftaran peniaga untuk perkhidmatan e-tunai kod QR DuitNow kepada 1.1 juta ‘touchpoints’ atau pusat pembayaran fizikal.

Terdapat sejumlah 1.2 juta pusat terbabit bagi memudahcara transaksi e-tunai untuk peniaga dan pengguna apabila digandingkan jaringan pusat pembayaran keempat-empat penyedia e-dompet bagi ePemula.

Menurut Tengku Zafrul, jaringan luas itu akan dapat memastikan pelaksanaan ePemula secara menyeluruh di seluruh negara, termasuk di bandar-bandar kecil.

Ini akan memberi manfaat kepada lebih ramai belia dan penuntut selain membudayakan satu sistem pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah, telus dan selamat, kata beliau.

Tengku Zafrul berkata, selari dengan fasa peralihan negara ke endemik yang membenarkan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial, ePemula dapat menekankan penggunaan e-dompet bagi tujuan pembelian secara fizikal.

"Kerajaan berharap dengan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi ePemula, langkah ini akan menggalakkan pengguna untuk menyokong komuniti perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang amat terkesan akibat pandemik,” katanya.- Bernama