PEMAIN Leicester City, James Maddison memuji tonggak pertahanan Wesley Fofana selepas bintang muda dari Marseille, Perancis itu mempamerkan aksi memberangsangkan pada suku akhir kedua Liga Konferensi menentang Philips Sport Vereniging (PSV) Eindhoven di Stadium Philips.
Fofana yang baru kembali dari kecederaan kaki serius sebelum ini mempamerkan prestasi yang sangat baik apabila berjaya mematahkan beberapa serangan berbahaya PSV Eindhoven pada separuh masa kedua.
"Kebersamaan dalam kalangan para pemain amat luar biasa, sebagai contoh, Wesley Fofana yang berpuasa tidak makan dan minum sepanjang hari, namun masih mampu memberikan aksi terbaik kepada pasukan ini.
"Dia mengekang semua serangan balas dengan larian pecutnya. Itu melambangkan sifat dari segi keberanian kepada kami semua pemain The Foxes," kata Maddison.
Leicester bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan PSV Eindhoven dengan agregat 2-1 dalam aksi suku akhir kedua Liga Konferensi di Stadium Philips untuk mara ke separuh akhir.
Pada perlawanan itu, Eran Zahavi terlebih dulu meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-27, namun skuad The Foxes kendalian Brendan Rodgers itu tidak mengalah apabila bangkit dengan dua gol di penghujung permainan menerusi jaringan James Maddison (77') dan Ricardo Domingos Barbosa Pereira (88') bagi mengesahkan slot empat terbaik.
Sementara itu, Jose Mourinho mengotakan janji memastikan AS Roma bangkit kekalahan di Norway sebelum ini untuk menewaskan Bodo/Glimt 4-0 dalam perlawanan di Stadium Olimpico.
Nicolò Zaniolo muncul wira tuan rumah apabila meledak hatrik jaringan (minit 23', 29' dan 49') yang sebelum itu dibarakan dengan gol seawal minit kelima Tammy Abraham untuk kemenangan agregat 5-2.
Di Stadium Toumbas, jaringan tunggal Dimitri Payet pada minit ke-34', membolehkan wakil Ligue 1, Marseille mengatasi kelab sensasi Greece, PAOK bagi mengesahkan kemaraan dengan agregat 3-1.
Sementara itu di Eden Arena pula, Slavia Prague terpaksa mengalah 1-3 kepada kelab berpengalaman Belanda, Feyenoord Rotterdam.
Ibrahim Benjamin Traore terlebih dulu menyalakan kembali cabaran kelab Prague itu dengan gol minit ke-14' bagi memadamkan jaringan pembukaan Cyriel Dessers pada minit kedua.
Dessers kemudian menyengat pada babak kedua dengan menambah jaringan pada minit ke-59', sebelum bintang Colombia, Luis Sinisterra meledak gol kemenangan pada minit ke-78' sekali gus mengesahkan kemaraan agregat 6-4.