MELAKA - Masyarakat Kampung Bukit Piatu di sini, masih mengamalkan cara tradisi menggunakan kompang, alunan serunai dan paluan gendang sebagai 'jam loceng' untuk mengejut penduduk bangun bersahur.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Piatu, Ramli Awang,47, berkata, ia merupakan tradisi sejak 75 tahun lalu setiap kali Ramadan yang mana kumpulan terdiri dari pelbagai peringkat usia akan pergi ke rumah penduduk mengikut lorong.
Menurutnya, seawal jam 4 pagi kumpulan majoritinya golongan belia akan berjalan sambil memainkan alat muzik tradisional mengikut rentak irama.
Katanya, aktiviti itu lebih meriah dilakukan pada waktu cuti atau hujung minggu kerana lebih ramai yang akan menyertainya termasuk kanak-kanak sekolah.
"Kalau tahun lepas disebabkan pandemik Covid-19 kita tak dapat melaksanakannya namun Ramadan kali ini berbeza apabila aktiviti kejut sahur dapat diteruskan.
"Sekurang-kurangnya belia kampung dapat berkumpul melakukan aktiviti berfaedah sebagai 'jam penggera' yang kejutkan penduduk bangun sahur," katanya.
Penduduk, Norlila Kassim, 46, berkata, cara begini lebih berkesan mengejutkan anak-anaknya bangun sahur bagi menunaikan rukun Islam ketiga itu.
"Kalau saya kejutkan bangun kadang-kadang sukar, tapi bila mereka dengar kumpulan sukarelawan yang datang rumah ke rumah, anak-anak teruja dan akan bangun awal.
"Jadi dapat menjimatkan masa serta mengeratkan hubungan silaturahim di antara satu sama lain," katanya.
Warga emas, Normah Senin, 66, berkata, acara itu sememangnya dinantikan dan dirindukan penduduk memandangkan dalam tempoh dua tahun pandemik, aktiviti itu tidak dapat diadakan.
"Tahun lalu memang sunyi, tak ada kumpulan anak muda yang kejutkan bangun sahur seperti yang dilakukan ketika zaman saya kanak-kanak lagi.
"Bila menyaksikan kumpulan kejut sahur ini dapat mengimbau kembali kenangan manis setiap kali Ramadan dan indahnya sahur penduduk pada kali ini," katanya.
Tambahnya, apa yang diharapkan terdapat pelapis yang boleh meneruskan acara tradisi ini yang semakin pupus ditelan zaman.