SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf mengajar umat Islam untuk mengawal nafsu dari melakukan pembaziran dari segi makanan dan kewangan.
Pekerja, Muhammad Faizul Hassan, 35, yang berasal dari Klang berkata, situasi berbuka di Kumpulan Karangkraf sangat berbeza jika dibandingkan dengan di rumah.
Menurutnya, ini kerana terdapat individu akan membeli makanan secara berlebihan untuk berbuka dan akhirnya dibuang begitu sahaja sekiranya tidak dihabiskan.
"Apabila berbuka di Kumpulan Karangkraf, saya rasa ia mengajar kita bahawa hanya dengan satu juadah sudah mencukupi untuk berbuka. Kalau dekat rumah pula, kena ada martabak, kuih-muih dan sebagainya.
"Bila makan dekat sini, baru kita sedar makanan sampingan itu semua nafsu semata-mata,” ujarnya.
Jelasnya, program di bawah naungan Sinar Harian bersama Karya Bestari dan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang memberikan makanan secara percuma sedikit sebanyak dapat mengurangkan pembaziran dalam bulan Ramadan.
Bagi penjawat awam, Nur Athirah Nor Azman, 25, berbuka puasa di Kumpulan Karangkraf bukan sahaja menjimatkan kewangan, malah boleh berbuka dengan rakan-rakan.
"Berpuasa sebenarnya mengajar kita berjimat-cermat. Dalam masa sama, kita boleh berkumpul bersama kawan di tempat yang dikira ‘unik’ ini,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Md Fairuz Musthaffa, 43, berkata, berbuka beramai-ramai yang dianjurkan Kumpulan Karangkraf suatu kelainan.
"Saya rasa iftar ini lebih kepada kelainan suasana selepas dua tahun berbuka di rumah. Ini peluang untuk rasa suasana yang berbeza. Sebelum ini kami sekeluarga hanya berbuka di rumah sahaja,” ujarnya.
Bagi orang ramai yang ingin merasai sendiri berbuka puasa ala Madinah perlu membuat pengesahan kehadiran jam 10 pagi sehari sebelumnya di talian 019-2133315.