Yakini kecekapan penguatkuasa banteras PATI

Iklan
79 PATI ditahan semasa cuba menceroboh masuk ke Malaysia melalui jalan laut tidak diwartakan.

PENDEDAHAN Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad mengenai penangkapan antara 30 hingga 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh sempadan negara setiap hari mencerminkan kecekapan pihak berkuasa memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

Kecekapan gabungan agensi keselamatan di bawah Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) dalam usaha membanteras dan mengawal kemasukan PATI ke negara ini harus mendapat kredit kerana dipercayai pendatang asing menggunakan pelbagai cara untuk mengaburi pihak berkuasa Malaysia.

Iklan
Iklan

Namun terdapat juga kebimbangan apabila penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berpandangan, PATI yang berjaya lolos dipercayai lebih ramai berbanding 30 hingga 45 orang yang ditahan setiap hari di sempadan negara, sama ada melalui jalan darat atau laut.

Katanya, perairan negara terbentang luas dan jumlah pihak berkuasa juga tidak mencukupi untuk menjaga sempadan negara dan oleh sebab itu, kemungkinan banyak lagi yang telah melepasi negara kita.

Iklan

Justeru beliau berpandangan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjaga kawalan sempadan negara perlu lebih serius menangani masalah pencerobohan kerana dibimbangi boleh mengancam keselamatan negara.

Sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menyeludup masuk PATI melalui laluan tidak sah.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som memberi jaminan pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam mengekang jenayah ini dari terus bermaharajalela.

Iklan

Mohd Zubil berkata, terdapat lebih 2,500 anggota Maritim Malaysia akan ditugaskan dalam Operasi Khas Pagar Laut Siri 1/2022 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 500 anggota turut ditugaskan di perairan Sabah dan Labuan manakala 450 lagi di Sarawak.

"Kita jangkakan musim perayaan ini akan membuka ruang jenayah di laut. Jadi, operasi dari 19 April hingga 17 Mei di seluruh perairan Malaysia ini dilaksanakan bagi menggempur sebarang aktiviti jenayah di perairan terutama selepas sempadan antarabangsa dibuka 1 April lalu.

"Menyedari ancaman yang bermusim serta berdasarkan trend aktiviti jenayah musim perayaan Aidilfitri sebelum ini, Maritim Malaysia tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi, malah operasi khas seperti Ops Khas Pagar Laut dilancarkan bagi mengukuhkan kawalan keselamatan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan serta penguatkuasaan terutama di setiap titik panas seluruh negara," katanya.

Justeru sebagai rakyat Malaysia kita harus memberi sokongan dan yakin dengan kecekapan serta kesungguhan angota keselamatan negara yang sentiasa memastikan perairan Malaysia tidak dicerobohi PATI.

Dalam masa sama, sebagai rakyat yang prihatin dan cintakan negara, kita perlu membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui adanya aktiviti pencerobohan PATI yang berlaku di kawasan sekitar.

Bersama-sama kita jaga keselamatan negara dan pastikan Malaysia tidak terbeban dengan masalah PATI yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk berada di negara ini.