KUANTAN - UMNO Pahang menyokong penuh keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu tepat pada masanya dengan meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya berlandaskan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.
Iklan
Iklan
Menurutnya, keputusan itu pastinya memberi impak positif kepada UMNO terutama ketika jentera parti sedang giat melakukan persiapan dan gerak kerja untuk menghadapi PRU15.
"Kewibawaan Datuk Seri Ismail Sabri terserlah terutama apabila berjaya mewujudkan kestabilan politik dan keharmonian hubungan antara kerajaan dan parti pembangkang yang memberi kesan langsung kepada kelancaran pentadbiran," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wan Rosdy berpendapat, pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada PRU15 mampu meneruskan kesinambungan pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan yang sedang rancak dilaksanakan ketika ini terutama dalam usaha memulihkan kembali ekonomi negara.
UMNO sebelum ini sebulat suara memutuskan untuk mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Rabu.