Keputusan MoU kerajaan-pembangkang perlu dibincang secara rasmi

Iklan
Anthony Loke

KUALA LUMPUR - Sebarang keputusan dan isu berkenaan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini perlu dibincangkan secara rasmi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan pimpinan tertinggi PH, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Menerusi catatan di Facebook beliau, Anthony Loke berkata, keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk tidak meneruskan MoU berkenaan selepas tarikh berkenaan adalah urusan antara Perdana Menteri dengan partinya.

Iklan
Iklan

"Perlu ditegaskan bahawa MoU tersebut adalah persefahaman antara PH dengan kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan UMNO. Justeru, pihak kami tidak terikat dengan apa-apa keputusan Majlis Tertinggi UMNO.

"Terdapat juga percanggahan pendapat dalam kalangan parti di blok kerajaan berkenaan garis masa MoU tersebut seperti dilaporkan oleh pihak media," menurut catatan itu.

Iklan

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditanya mengenai kedudukan MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH berkata, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan ia tidak akan diteruskan lagi selepas 31 Julai ini.

MoU ditandatangani pada September lepas oleh Ismail Sabri dan pemimpin-pemimpin parti dalam gabungan PH sepakat bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai ini.

Iklan

Mengulas lanjut Anthony Loke berkata, bagi PH, isu paling penting adalah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang termaktub dalam MoU terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, dalam Pemukiman DAP Pusat baru-baru ini, pucuk pimpinan parti telah mengarahkan supaya seluruh jentera pilihan raya parti itu bersiap siaga sepenuhnya menjelang Ogos ini.

"Dalam apa keadaan sekali pun, saya yakin bahawa DAP dan PH bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal bulan Ogos akan datang," katanya. - Bernama