MOSCOW - Kementerian Luar Rusia pada Jumaat menyelar tindakan Israel terhadap Palestin sambil menyifatkan Tel Aviv mengubah Gaza menjadi 'penjara di bawah langit terbuka', lapor Agensi Anadolu.
Mengulas mengenai kenyataan menteri luar Israel menyokong penggantungan keanggotaan Rusia dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC), kementerian luar mendakwa Israel menggunakan situasi di Ukraine bagi mengalih perhatian dunia mengenai isu Palestin.
Iklan
Iklan
"Seperti diketahui umum, setelah pelbagai pelanggaran dibuat terhadap keputusan Majlis Keselamatan (PBB) dan Perhimpunan Agung PBB, rejim Israel masih meneruskan pendudukan haram dan 'pengilhakan' di wilayah Palestin, mengakibatkan lebih 2.5 juta rakyat Palestin di Tebing Barat Sungai Jordan diusir ke kawasan terpencil dan terputus dari dunia luar.
"Semenanjung Gaza pada dasarnya telah menjadi ‘penjara terbuka,’ hingga memaksa dua juta rakyatnya bertahan di bawah sekatan laut, udara dan darat Israel hampir 14 tahun,” menurut kementerian itu.
Sekurang-kurangnya 152 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa pada Jumaat, menurut ciapan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
Ketegangan antara Israel dan Palestin memuncak di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak tiga minggu lalu susulan sambutan Hari Easter bertindih dengan Ramadan. - Bernama
Artikel Berkaitan