TONGGAK tengah Manchester United, Nemanja Matic mengesahkan dia bakal meninggalkan skuad The Red Devils itu pada penghujung musim ini.
Menurut pemain Serbia berusia 33 tahun itu, hasrat berkenaan juga telah pun dinyatakan kepada pengendali interim United, Ralf Rangnick, rakan-rakan sepasukan dan ahli lembaga pengarah kelab berkenaan baru-baru ini.
Malah menurut Matic, dia telah berfikir dan melakukan pertimbangan dari semua segi sebelum membuat keputusan berkenaan.
"Setelah berfikir semasak-masaknya, saya membuat keputusan bahawa musim ini adalah merupakan musim terakhir saya beraksi di Old Trafford.
"Saya juga telah memaklumkannya kepada Rangnick (Ralf), rakan sepasukan dan ahli lembaga pengarah kelab mengenai hasrat saya itu,” katanya.
Untuk rekod, Matic menyertai United pada Julai 2017 dan telah melakukan 180 penampilan dalam semua pertandingan.
Malah, Matic masih memiliki baki kontrak selama setahun bersama United dan telah melakukan 17 penampilan bersama United musim ini.
Matic juga berada dalam senarai kesebelasan utama United ketika tewas 0-1 kepada Everton, 9 April lalu.
Sementara itu, Matic berikrar dia akan memberikan aksi terbaik sebelum sebelum dia meninggalkan Old Trafford.
"Ia merupakan satu penghormatan buat saya untuk beraksi bersama kelab hebat seperti Manchester United dan saya berterima kasih kepada semua penyokong kelab ini atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sebelum ini.
"Kini saya akan cuba berikan aksi terbaik sehingga penghujung musim dan membantu United untuk menamatkan saingan musim ini dengan berada pada kedudukan terbaik,” katanya.