Anwar ingatkan calon henti cemuhan melangkaui peribadi

Iklan
Anwar Ibrahim

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua calon Pemilihan PKR 2022 dan anggota parti supaya bertanding secara sihat termasuk menghentikan cemuhan, maki hamun dan melangkaui peribadi.

Menurutnya, semua anggota parti perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sebelum ini apabila ‘kelompok’ dahulu yang telah menghakis sedikit sebanyak kekuatan parti.

Iklan
Iklan

"Saya mengucapkan penghargaan kepada Datuk Seri Amirudin Shari (Pengerusi PKR Selangor) dan pimpinan negeri Selangor kerana tatkala dihempap sebegitu rupa dengan begitu kuat ketika itu, tetapi beliau dapat menghimpunkan semula kekuatan PKR Selangor.

"Saya tahu, bukan mudah kerana Selangor adalah ‘pencabar’ garisan dan landasan PKR yang berlaku pada 2018. Mulai hari ini, kita harus jadikannya sebagai pengalaman dan pengajaran. Jalankan kerja dengan baik dan pastikan parti berada di landasan yang betul dan menolak segala perpecahan, rasuah atau penyelewengan.

Iklan

"Hendak nilai kekuatan kita itu bukan sahaja nilai Menteri Besar dan Exco sahaja. Bukan daripada elit-elit dan cerdik pandai di atas, bukan juga daripada penganalisis politik dan elit bandar yang sinis terhadap semua tetapi dari akar umbi, ketua kampung yang di bawah itu yang akan menentukan sama ada kita berhasil atau tidak,” katanya dalam satu klip video yang disiarkan di Facebooknya pada Sabtu.

Kenyataan itu dibuat pada Majlis Berbuka Puasa bersama Pemimpin Masyarakat anjuran Menteri Besar Selangor, di sini malam Jumaat.

Iklan

Dalam masa sama, Anwar memberitahu Amirudin akan mengetuai PKR Selangor untuk menjelajah ke seluruh negeri dalam memberikan lonjakan baharu untuk mengangkat semula kekuatan parti bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, arahan untuk menggerakkan jentera parti akan diberikan selepas selesai pemilihan parti dan jentera di Selangor akan terus bekerja serta turun ke bawah berjumpa akar umbi.