Guru dihanyut arus sungai dikhuatiri lemas di Setiu

Iklan
Gambar hiasan 123RF

SETIU - Seorang guru dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika sedang memukat ikan di kawasan muara sungai Kuala Baru dekat Kampung Mangkuk di sini pada Jumaat malam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Sugani Yasin, 51, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh dekat Permaisuri di sini, dikatakan telah menaiki bot dari Kampung Fikri ke lokasi tersebut bersama 14 rakannya yang lain.

Iklan
Iklan

Seorang rakan mangsa, Khairul Azri Abdullah, 44, berkata, mereka berpecah kepada dua kumpulan iaitu 10 orang turun menarik pukat, manakala dia bersama empat lagi rakan termasuk mangsa berjalan di kawasan berkenaan kerana air sedang surut.

"Saya jalan di belakang sekali... keadaan memang gelap, air hanya di paras lutut kami sahaja, tapi tiba-tiba kami semua terjatuh ke dalam lubang air yang berpusar.

Iklan

"Saya hanya sempat selamatkan tiga orang dan hilang tenaga, sudah tak berdaya untuk selamatkan Sugani yang hilang dihanyutkan arus. Kemudian kami terus buat panggilan kecemasan kepada polis dan bomba," katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu. Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada 12.45 tengah malam tadi dan pasukan penyelamat telah bergegas ke tempat kejadian.

Iklan

"Operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan 42 anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 10 orang awam sehingga kini masih belum menemui mangsa," katanya. - Bernama