SEPANG - Dendam dan cemburu dipercayai motif kes bunuh seorang lelaki warga Bangladesh di tepi Jalan Sepang-Salak, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, hasil risikan mendapati teman wanita mangsa telah berkahwin dengan seorang lelaki warga asing dan mempunyai tiga orang anak.
"Pada 2020, ketika Perintah Kawalan Pergerakan suaminya balik ke negara asal dan kembali ke Malaysia pada Ogos lalu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wan Kamarul Azran berkata, lelaki itu marah dan menceraikan isterinya apabila mengetahui wanita itu berkawan dengan mangsa.
"Sepupu mangsa juga mendakwa sebelum ini lelaki itu turut memarahinya kerana mangsa rapat dengan bekas isterinya," katanya.
Beliau berkata, polis turut menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 50 tahun di sebuah rumah di Padang Jawa Shah Alam pada jam 1 pagi Sabtu.
"Kita turut merampas tiga telefon bimbit dan siasatan juga mendapati salah seorang daripada mereka tidak ada dokumen pengenalan diri," katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tangannya terikat dengan wayar kabel di tepi Jalan Sepang-Salak.
Lelaki berusia 25 tahun itu ditemui oleh orang awam pada jam 8.32 pagi dengan kesan kecederaan pada bahagian badan mangsa.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.