Rakyat bebas balik kampung beraya: PM

Iklan
Ismail Sabri menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk kampung ketika membuat lawatan di Masjid Kampung Mengkarak sempena program Jelajah Semarak Ramadan pada Sabtu. - Foto Bernama

BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa orang ramai bebas untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, tiada lagi sekatan pergerakan pulang ke kampung tahun ini selepas dua tahun pergerakan balik hari raya Aidilfitri tidak dibenarkan akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Jadi kalau ada yang tanya boleh balik beraya atau tidak tahun ini, ya..boleh balik, bebas," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Mengkarak di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, walaupun orang ramai bebas pulang beraya, mereka digalakkan untuk membuat kawalan kendiri dan memakai pelitup muka bagi melindungi diri dan orang lain.

Iklan

Beliau berkata, bagi memberi peluang orang ramai bersama-sama keluarga pada hari raya pertama, Rumah Terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana pada tahun ini ditunda kepada 8 Mei.

"Biasanya majlis itu diadakan pada hari raya pertama, tapi tahun ini kita beri peluang orang ramai balik kampung beraya dahulu dengan keluarga," katanya.

Iklan

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kira-kira 4,800 penerima menerima sumbangan sempena Aidilfitri Parlimen Bera melalui Majlis Semarak Ramadan Parlimen Bera yang diadakan pada Sabtu dan Ahad ini.

"Sumbangan tunai melalui Yayasan Petronas itu diharap dapat membantu meringankan beban mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Biasanya sumbangan berbentuk tunai dan barangan namun kali ini kita beri tunai supaya wang itu dapat digunakan penerima untuk membeli keperluan mereka," katanya.