BUKIT GANTANG - Penduduk teruja apabila ikan 'kayangan' seperti siakap, bawal emas dan nyok-nyok dijual serendah RM5 seekor pada program Jualan Keluarga Malaysia di pekarangan Masjid Al-Ahmadi Changkat Ibol, Changkat Jering di sini pada Sabtu.
Penduduk, Hasnah Hashim, 56, berkata, dia terkejut apabila ikan-ikan 'mahal' yang disediakan dijual lebih 50 peratus murah berbanding harga di pasaran.
"Harga yang dilelong ini amat murah. Terkejut juga apabila ikan siakap ini dijual RM5 seekor manakala nyok-nyok RM10. Ikan kembung pula RM3 sekilogram (kg).
"Walaupun terpaksa berebut dapat juga beli ikan mahal untuk dijadikan bekalan minggu ini. Kami dapat menikmati juadah ikan untuk berbuka puasa nanti," katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, inisiatif yang disediakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu diharap dapat diteruskan di setiap kawasan terutama di kampung-kampung.
Bagi Mohd Aini Mohd Lofti, 36, dia memandu lebih 30 kilometer dari Parit Buntar untuk membeli barangan keperluan asas selepas mengetahui program jualan itu minggu lalu.
"Saya selalu beli barangan di Jualan Keluarga Malaysia kerana harganya yang murah tetapi tidak sangka hari ini ada lelongan ikan pula.
"Jika beli di pasar, ikan-ikan ini dijual antara RM20 hingga RM30 setiap kg tetapi kali ini serendah RM5 seekor. Memang berbaloi saya datang kali ini," katanya.
Pada program itu, LKIM turut menyediakan sebanyak 300kg ikan sejuk beku untuk diagihkan secara percuma kepada pengunjung.
Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, sejumlah RM1 juta telah diperuntukkan dengan anggaran 100,000kg ikan disediakan di seluruh negara.
"Kita ada bajet RM1 juta untuk bantuan ikan percuma dan ia dilaksanakan secara berperingkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
"Program ini dilaksanakan di semua kawasan Parlimen yang ada penglibatan LKIM untuk bantu semua lapisan masyarakat terutama pada era pemulihan ini," katanya.