BUKIT GANTANG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang menambah baik sistem berhubung pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) termasuk kepada nelayan yang sudah meninggal dunia.
Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, integrasi sistem bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan dilakukan secepat mungkin bagi membaiki kelemahan sistem yang sedia ada.
"Kita sudah proses untuk integrasikan sistem dan menilai balik apa yang berlaku. Itu langkah terakhir untuk kita kendali lompang apabila berlaku kematian tetapi tiada laporan dalam sistem.
"Jadi, ini pilihan yang kita ada untuk integrasi sistem pendaftaran dengan sistem pembayaran elaun sara hidup yang dikendalikan LKIM secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir lelongan ikan segar pada program Jualan Keluarga Malaysia di pekarangan Masjid Al-Ahmadi Changkat Ibol, Changkat Jering di sini pada Sabtu.
Media melaporkan LKIM mengaku masih ada nelayan sudah meninggal dunia dibayar ESHN berikutan tiada pautan data secara langsung dengan sistem JPN untuk rekod kematian.
LKIM masih menggunakan kaedah manual bagi merekodkan kematian penerima dan sikap waris tidak memaklumkan kes kematian menjadi punca elaun berkenaan dibayar setiap bulan melalui akaun bank.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 Siri 1 pada Mac turut meminta LKIM menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bayaran ESHN dan Insentif Pendaratan Ikan dengan memperhalusi elemen semakan kelayakan dan mekanisme pemantauan yang lebih berkesan.
Dalam perkembangan lain, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, bekalan serta harga ikan di pasaran negara dijangka stabil bulan depan ekoran berakhirnya musim tengkujuh.
"Setakat Mei ini, kapal-kapal sudah ke laut dalam dan pekerja-pekerja asing mula masuk nanti.
"Maka, bekalan ikan kembali stabil seperti mana sebelum ini tambahan musim tengkujuh sudah berakhir. Bulan depan akan lebih stabil," katanya.