Hidangan kerang, aneka siput rebus jadi fenomena sepanjang Ramadan

Iklan
Pelbagai jenis kerang dan siput disediakan di Kedai Wanis Char Kuey Teow di Jawi.

NIBONG TEBAL - Setiap kali tiba bulan Ramadan, hidangan kerang rebus dan aneka siput pastinya akan menjadi pilihan ramai di sekitar daerah Seberang Perai Selatan.

Uniknya tradisi ini apabila gerai-gerai kerang rebus hanya 'muncul' dalam tempoh sebulan sahaja dan beroperasi setiap hari sepanjang Ramadan.

Iklan
Iklan

Tatkala berlabuhnya tirai Ramadan, maka gerai-gerai sementara yang didirikan ini akan menutup operasinya sehinggalah tirai Ramadan dibuka semula pada tahun hadapan.

Bukan itu sahaja, restoran atau kedai makan yang selama ini tidak pernah menawarkan menu kerang rebus juga tidak ketinggalan menawarkan menu istimewa tersebut kepada pelanggan.

Iklan

Antara yang sering menjadi tumpuan adalah Kedai Wanis Char Kuey Teow di Jawi, di sini kerana ia bukan sahaja menyajikan pelbagai hidangan kerang tetapi juga beraneka siput termasuk siput mentarang, lokan, siput unam, siput kepah, siput duri dan banyak lagi.

Noor Erwan menunjukkan set siput yang disediakan di kedainya.

Pemiliknya, Noor Erwan Mohamed Nordin berkata, sudah menjadi tradisi orang ramai sejak sekian lama di sini menikmati hidangan kerang rebus dan aneka siput selepas solat tarawih.

Iklan

Menurutnya, fenomena makan kerang rebus ini bukan sahaja popular dalam kalangan penduduk tempatan malah turut menjadi pilihan orang luar yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu merasai hidangan istimewa berkenaan.

"Boleh dikatakan setiap hari 500 hingga 700 pelanggan yang datang ke sini kerana mahu menikmati hidangan kerang dan beraneka siput rebus yang disediakan.

"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, setiap hari kami akan menyediakan lebih 300 kilogram (kg) kerang dan siput di sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Mengakui semakin banyak kedai dan gerai yang menjual kerang rebus dan siput ketika ini, Noor Erwan berkata, apa yang membezakan hidangan di kedainya adalah keenakan kuah kacang, kuah asam dan sos yang disediakan bersama.

Katanya, dengan ramuan sendiri yang digunakan itu kerang dan siput yang direbus tidak berbau hanyir serta selamat dimakan oleh semua lapisan umur.

Kuah kacang, kuah asam dan sos yang disediakan bersama set kerang dan aneka siput rebus.

Dia berkata, harga hidangan yang ditawarkan juga amat berpatutan dan mampu milik, malah pihaknya turut menyediakan hidangan set yang menggabungkan kesemua kerang dan siput dalam satu talam.

"Bagi set kerang dijual dengan harga RM25 manakala bagi set Raja Siput pula dijual pada harga RM35 bagi 1.5kg.

"Orang ramai boleh menikmati hidangan yang kami sediakan di sini bermula berbuka puasa sehingga jam 1 pagi," katanya.