Lapor JPN jika ada maklumat keracunan, kebersihan makanan di sekolah

Iklan
Ahmad Saidi (tiga dari kiri) membantu tiga kanak-kanak memilih baju raya sempena Program Cahaya Aidilfitri GPMS Perak di Pasaraya Mydin di Gopeng pada Sabtu.

GOPENG - Ibu bapa yang mempunyai maklumat berkaitan kesihatan dan kebersihan makanan di sekolah anak-anak diminta melaporkan segera kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, perkara itu bagi membolehkan semakan dibuat dan tindakan lanjut dapat diambil terhadap sekolah terlibat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam kebanyakan kes terutama isu makanan berulat dan keracunan makanan, ibu bapa hanya berkongsi perkara itu menerusi media sosial sehingga tular dan meraih perhatian umum.

"Kita ada terima beberapa aduan tular di media sosial berkaitan masalah kebersihan makanan dan keracunan yang berlaku di sekolah. Perkara ini kita sedang pantau dan buat semakan termasuk merujuknya kepada Jabatan Kesihatan Negeri.

Iklan

"Cumanya, jika ibu bapa ada maklumat berkaitan kebajikan anak-anak tidak kiralah mengenai makanan atau kebersihan sama ada di asrama atau sekolah harian yang memungkinkan memberi kesan kepada kesihatan anak-anak, maka laporkanlah segera kepada JPN atau pejabat saya sendiri.

"Langkah ini penting supaya kita dapat terus laksanakan siasatan dan mencari solusi terbaik menanganinya. Saya yakin JPN akan lakukan yang terbaik demi menjaga kebajikan dan kesihatan anak-anak yang berada di sekolah," katanya ketika ditemui dalam Program Cahaya Aidilfitri Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak di Pasaraya Mydin pada Sabtu.

Iklan
Ahmad Saidi (belakang, dua dari kanan) bersama sebahagian anak-anak yatim yang terpilih mengikuti Program Cahaya Aidilfitri GPMS Perak di Pasaraya Mydin di Gopeng pada Sabtu.

Minggu lalu, tular di media sosial perkongsian seorang bapa yang meluahkan rasa terkilan, kecewa dan sedih apabila tidak dimaklumkan keadaan anaknya yang terlantar selama tiga hari akibat keracunan makanan di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh.

Pengetua sekolah dalam satu kenyataan dimuat naik di facebook tampil menjelaskan bahawa isu keracunan makanan dialami pelajar sekolah berkenaan telah didiagnosis sebagai tidak kritikal menyebabkan ibu bapa tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.

Mengulas perkara itu, Ahmad Saidi berkata, pengendali makanan dan pengusaha kantin sekolah terbabit telah diberikan peringatan supaya lebih berhati-hati dalam aspek kebersihan dan penyediaan makanan.

Katanya, tindakan lanjut akan diambil sebaik laporan lengkap berhubung isu keracunan itu diperoleh daripada Jabatan Kesihatan.

"Setakat ini laporan penuh belum diterima, tetapi ikut laporan awal, pelajar yang mengalami cirit-birit itu telah dibawa ke klinik dan dimaklumkan tidak berada dalam situasi kritikal.

"Begitupun sekiranya berlaku keingkaran atau kesalahan dilakukan pengendali makanan, sudah pasti tindakan sewajarnya diambil untuk pastikan perkara sebegini tidak berulang," katanya.

Dalam program itu, hampir 50 anak yatim dari Baitul Mubaroqah, Pangsapuri Seri Kepayang di Ipoh dan anak-anak yatim sekitar Sungai Siput diraikan dengan membeli keperluan baju raya melibatkan kos keseluruhan RM7,500.

Selain Program Cahaya Aidilfitri, GPMS Perak turut menggerakkan program singgah sahur bersama anak-anak yatim Darussalam, agihan bubur lambuk dan berbuka puasa yang dianjurkan bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Barisan Nasional Youth Volunteer (BNYV) dan Majlis Belia Daerah Sungai Siput.