SEMPORNA - Jenazah lima sekeluarga mangsa bot karam di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata pada Khamis, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada malam tadi.
Seorang ahli keluarga mangsa, Hassan Nurjani, 39, berkata, mangsa dikebumikan di Kampung Sungai Nasip di sini kira-kira 8 malam.
"Kami reda dengan ketentuan ini," katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Semporna.
Menurutnya, dua lagi mangsa bot karam yang ditemukan pagi tadi masing-masing akan dikebumikan di Kampung Sungai Nasip dan Kampung Rasak selepas selesai bedah siasat.
"Semua mangsa ini ada ikatan keluarga," katanya lagi.
Dalam pada itu, Musliat Landuh, 53, berkata, pihaknya menunaikan solat hajat malam tadi sebagai ikhtiar terakhir keluarga untuk menemukan dua cucu saudaranya itu."Syukur, kira-kira 6 pagi tadi, saya dan orang Kampung Tandoan melakukan pencarian dan terjumpa kedua-dua cucu saya ini terapung lemas, ditemukan serentak dengan jarak mereka terpisah 500 meter sahaja," katanya.
Semalam dilaporkan lima maut, dua masih hilang manakala 14 selamat selepas bot dinaiki karam di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata pada malam, Khamis.
Musliat berkata, kesemua 21 mangsa memulakan perjalanan kira-kira 5.45 petang dari Kampung Bakung-Bakung menuju ke Kampung Tandoan untuk menziarahi keluarga sambil berbuka puasa bersama.
"Namun saya difahamkan dari anak buah yang selamat, mereka (bot) cuba mengelak tali rumpai laut dan ketika itu cuaca buruk, ombak besar dan apabila mengelak, bot terbalik, kejadian ini sebenarnya sudah hampir dengan pesisir pantai.
"Mujur penduduk yang tinggal di pesisir, mendengar jeritan kesemua mangsa, dan segera membantu menyelamatkan mangsa, ada yang kanak-kanak ketika diselamatkan sudah lemas, tapi penduduk beri bantuan pernafasan dan mereka ini muntahkan air dari mulut," katanya.
Selain itu, katanya juga mangsa kecuali kanak-kanak, pandai berenang dan sudah biasa ulang alik menaiki bot ke Kampung Tandoan, namun malang tidak berbau. - Bernama