SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyatakan solidariti bersama Palestin dan mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan pihak berkuasa Israel yang menimbulkan provokasi hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera pada Jumaat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebarang isu keganasan di bumi Palestin merupakan krisis kemanusiaan dan bukan semata-mata isu umat Islam.
Menurutnya, kerajaan Selangor akan terus berusaha menjaga kebajikan rakyat Palestin dengan cara tersendiri, contohnya menerusi Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin.
"Kerajaan negeri akan terus berusaha menjaga kebajikan rakyat Palestin dalam kapasitinya tersendiri, seperti yang dapat dilihat melalui Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang berjaya mengumpulkan sumbangan hampir RM1 juta sejak dilancarkan tahun lepas.
"Sumbangan tersebut dikumpul dalam bentuk pengangkutan seperti ambulans, Trak Amal Selangor kelengkapan perubatan serta kotak-kotak makanan untuk rakyat Gaza.
"Sempena bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengangkat tangan dan mendoakan kesejahteraan buat warga Palestin. Semoga munajat kita diterima ALLAH SWT hendaknya dalam bulan yang penuh mustajab ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada hari sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas penduduk awam dan jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat.
Katanya, serangan ke atas salah sebuah masjid paling suci bagi umat Islam pada bulan Ramadan menunjukkan keganasan berlanjutan dan dasar aparteid yang diamalkan tentera Israel terhadap hak-hak asasi, kehidupan, kesejahteraan serta maruah rakyat Palestin.