IPOH - Seorang wanita mengalami lecur di kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah di Medan Klebang Restu dekat sini pada Sabtu.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan ketika membuka pintu biliknya sebaik menyedari api mula marak.
Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh pada jam 5.48 petang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, mangsa berjaya menyelamatkan diri, namun mengalami sedikit lecur sekitar 10 peratus di bahagian kaki dan tangan.
Menurutnya, mangsa kemudiannya telah diberikan rawatan awal oleh Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian sebelum di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Anggota membuat pemadaman menggunakan dua aliran 'hose reel' sehingga kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya dan operasi tamat pada jam 6.42 petang," katanya.