SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar sidang Parlimen diadakan bagi membahaskan isu tatakelola kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan keputusan melibatkan duit rakyat yang tidak dibentangkan secara telus.
Menurutnya, kerajaan perlu segera memberi perhatian serta menangani isu-isu berkenaan yang dilihat semakin membimbangkan sebelum ia kian parah dan semakin berterusan.
Iklan
Iklan
"Jika dahulu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini Transit Aliran Massa (MRT), Digital Nasional Berhad (DNB), MySejahtera dan Sapura, semua isu ini perlu segera dijelaskan kerajaan kepada rakyat.
"Jangan izinkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan terus berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan di siaran Facebook rasminya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya memberi penjelasan segera berkaitan beberapa projek nasional yang mana perinciannya tidak dijelaskan kepada negara dan rakyat.
"Usah jadikan Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai alasan untuk diinjak prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
"Kerajaan perlu segera tangani beberapa isu besar antaranya mengenai pengurusan kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat yang tidak dibentangkan secara telus kepada rakyat,” ujarnya.