Tolong bantu Perak FC

Iklan
Mohd Firdaus

KEMELUT yang dihadapi Perak FC ketika ini terutamanya dari segi masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai kelab itu hanya dapat diatasi dengan bantuan daripada kerajaan negeri Perak.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, hanya kerajaan negeri Perak yang mampu menangani permasalahan yang ditanggung skuad The Bos Gaurus itu.

Iklan
Iklan

"Pada pendapat saya, kerajaan negeri Perak sahaja yang dapat selamatkan Perak FC ketika ini, bukannya sekejap kata orang ini ambil, sekejap syarikat ini ambil untuk selamatkan Perak FC.

"Sehingga hari ini, masih belum ada sebarang kepastian.

Iklan

Jadi saya sarankan pihak kerajaan negeri Perak dapat memberikan ‘talian hayat’ terakhir buat Perak FC.

Sekali ini sahaja, selepas itu, biar mereka berdikari.

Iklan

"Memang betul kita dah menuju ke arah penswastaan tetapi dalam situasi semasa, apa yang lebih penting memastikan survival Perak FC dalam saingan Liga-M,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Perak FC kini berdepan masalah tunggakan gaji sehingga menyebabkan kelab Liga Premier itu mengalami pemotongan tiga mata pada 1 April dan seterusnya pemotongan enam mata pada 15 April.

Jika tunggakan gaji berkenaan masih gagal dijelaskan pada 22 April, perkara berkenaan akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Barisan pemain Perak FC masih dibelenggu dengan masalah tunggakan gaji sejak beberapa bulan lalu. - Foto FB Perak FC

Sekiranya itu berlaku, skuad kendalian Yusri Che Lah itu bakal berdepan hukuman penarikan lesen selain berkemungkinan disingkirkan ke saingan Liga Amatur (AFL) atau Liga M3.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berharap masalah berkenaan diberikan perhatian serius terutamanya daripada kerajaan negeri Perak dalam usaha memastikan Perak FC kekal beraksi dalam Liga-M.

"Kerajaan negeri Perak memang perlu terlibat. Takkan mereka sanggup Perak FC disingkirkan daripada Liga-M.

Kasihanilah penyokong-penyokong setia Perak FC sejak dulu.

"Lagipun, Perak FC baru sahaja meraikan ulang tahun ke-100 pasukan itu, pada tahun 2021 lalu.

Apakah ini hadiah terbaik untuk ulang tahun penuh bersejarah itu?

"Sudah tiba masanya kerajaan negeri Perak menghulurkan bantuan, mungkin ini yang terakhir bagi membantu Perak FC,” jelasnya yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM.

Mohd Firdaus berkata, sekiranya Perak FC gagal diselamatkan, ia akan menjadi satu kerugian besar kepada komuniti bola sepak di negeri itu secara keseluruhannya.

"Jika situasi yang melanda Perak FC kini berpanjangan, ia mungkin memberikan kesan kepada perkembangan bola sepak di negeri Perak itu sendiri.

"Jadi sebelum terlambat, masalah ini perlu ditangani segera dan mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan negeri Perak bagi memastikan Perak FC dapat terus bersaing dalam Liga-M,” ujarnya.