SINTOK - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan Program PTPTN Prihatin: Ramadan dan Syawal Bersama PTPTN Tahun 2022 bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, program tersebut dilaksanakan sepanjang Ramadan untuk membantu meringankan beban kewangan terutamanya keluarga asnaf dan anak-anak yatim ketika menyambut Ramadan dan Aidilfitri.
Antaranya Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Bersama Pelajar IPT/ Politeknik Tahun 2022, Program Sempurnakan Raya Special PTPTN x Mingguan Wanita dan Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim.
Turut diadakan adalah Program Ihya Ramadan PTPTN 2022, Program Jelajah Simpan SSPN 2022 dan Bantuan Kewangan Pengajian Kepada Anak Yatim (Asnaf) Yang Kehilangan Ibu Bapa Akibat Covid-19.
"Program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat. PTPTN prihatin membantu pelajar dan masyarakat dalam apa jua keadaan.
"Program ini diharap dapat mengubah persepsi terhadap peranan dan fungsi PTPTN yang bukan hanya memberikan pinjaman dan mengutip hutang semata-mata tetapi meningkatkan imej positif PTPTN menerusi program CSR,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, Huzaidy Hussain dan Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad.
Jelas Wan Saiful, sambutan IMRAN bersama pelajar Institut Pengajian Tinggi/ Politeknik diteruskan lagi pada tahun ini melibatkan 14 buah IPT di seluruh negara bermula 15 April hingga 24 April depan.
Menurutnya, secara purata sebanyak 700 hingga 1,500 bekas bubur lambuk disediakan di setiap institusi tersebut dengan jumlah keseluruhan lebih 12,000 bekas bubur lambuk.
Katanya, PTPTN turut memberikan sumbangan wakalah zakat sebanyak RM300,000 untuk membantu 3,000 pelajar asnaf di 30 kawasan terpilih melalui program Jelajah Simpan SSPN di beberapa negeri.
"Setiap pelajar akan menerima RM100 dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN Prime. Sumbangan dalam bentuk pembukaan akaun Simpan SSPN Prime bertujuan membantu pelajar asnaf dari sudut pendidikan serta sebagai galakan awal untuk memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi.
"Penabungan melalui Simpan SSPN turut memberikan dividen yang kompetitif dan bagi tahun 2021 dividen yang diberikan adalah sebanyak 3 peratus.
"Kerajaan juga memberi pelepasan taksiran cukai melalui penabungan Simpan SSPN iaitu sebanyak RM8,000 setahun ke atas simpanan bersih tahun semasa,” ujarnya.
Beliau menyerahkan akaun pembukaan Simpan SSPN Prime kepada 100 orang pelajar asnaf dengan peruntukan RM10,000 di Masjid Jame’al Shahab, Kepala Batas, Jitra.
Syukur
Aisyah Ismail, 57, bersyukur selepas dua cucunya iaitu Alesya Maisarah Zainuzam, 8, dan Iskandar Zulkarnain, 7, menerima simpanan sebanyak RM100 setiap seorang.
Dia kini menyara cucu-cucunya itu termasuk seorang lagi Ahmad Adam Zainuzam, 3 dengan menjual nasi lemak selain bergantung pencen arwah suaminya.
"Alhamdulillah simpanan ini sangat membantu untuk masa depan cucu-cucu saya. Saya akan buat simpanan mereka dalam Simpan SSPN sikit demi sedikit untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi apabila dewasa nanti,” katanya.
Kegembiraan sama dikongsikan oleh seorang ibu tunggal, Anis Abdul Aziz, 32, apabila anak keduanya, Nur Qaseh Batrisyia Mohd Amar, 7, turut terpilih sebagai penerima Simpan SSPN.
"Saya bersyukur. Ini rezeki anak saya berkat bulan Ramadan. Semoga bantuan ini akan menjadi pembakar semangat untuknya belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya.
Pada majlis sama, PTPTN melalui Skuad PTPTN Prihatin turut memberikan sumbangan bakul makanan kepada 30 golongan asnaf.