PONTIAN – Kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) disifatkan tidak sesuai dan bakal merugikan parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan tersebut tidak seharusnya ditimbulkan kerana Pengerusi BN biasanya merupakan Presiden UMNO yang dipilih secara sah oleh perwakilan UMNO pada tahun 2018 yang lalu.
"Sejak Ogos tahun lalu, Ismail Sabri dilantik menjadi Perdana Menteri hubungan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohammad Hasan tiada masalah.
"Apa salahnya Ahmad Zahid teruskan tugasnya kerana belum didapati bersalah oleh Mahkamah dan proses perbicaraan masih berjalan. Kita tidak boleh membuat kesimpulan beliau bersalah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Satu Juzuk Satu Minggu Al-Quran di Dewan Citra Sri Pinang Benut, di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pontian.
Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan, Annuar Musa seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid dan Mohammad Hasan kerana telah berlapang dada memberikan laluan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.
"Sepatutnya semua pemimpin UMNO memberikan sokongan kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan tidak menimbulkan sebarang percanggahan.
"Ia merupakan satu dinamika politik baharu yang dilakukan oleh UMNO bagi memastikan UMNO dan BN bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih awal,” ujarnya.
Pada Jumaat, Annuar dilapor berkata sudah tiba masanya Ismail Sabri turut diberi amanah sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Pengarah Utama Jentera Pilihan Raya BN.
Sebagai calon Perdana Menteri juga, beliau berkata Ismail Sabri perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa aturan baharu politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti serta mampu memulihkan negara.
Sebelum itu pada Khamis, MKT UMNO sebulat suara untuk memutuskan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri pada PRU15.