Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 diumum bulan ini

Iklan
Mohd Radzi (kanan) beramah mesra dengan murid SK Seri Ketereh semasa meninjau pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran pada Ahad.

KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijangka membentangkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 pada bulan ini selepas mengambil kira peralihan negara ke fasa endemik.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu mengambil kira pandangan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana ia melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan daripada ancaman Covid-19.

Iklan
Iklan

"SOP ini turut melibatkan aktiviti kokurikulum yang telah dijalankan secara berperingkat-peringkat di sekolah sahaja," katanya selepas meninjau pengoperasian sekolah tanpa menggunakan sistem penggiliran di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh di sini pada Ahad.

Seramai 130,177 pelajar dari Kumpulan A melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor memulakan sesi persekolahan pada Ahad secara bersemuka tanpa menggunakan sistem penggiliran.

Iklan

Menurutnya, untuk langkah berikut KPM akan memaklumkan aktiviti kokurikulum antara sekolah pula.

Beliau berkata, SOP berkaitan garis panduan tersebut ketika ini berada di peringkat akhir sebelum diumumkan.

Iklan

Mohd Radzi berkata, pelajar tinggal di asrama yang mempunyai kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19 dan tidak bergejala boleh hadir ke kelas seperti biasa.

"Mereka tidak perlu menjalani kuarantin kendiri. Oleh demikian, kita berharap seluruh masyarakat termasuk guru, ibu bapa dan pelajar sekolah supaya sentiasa mematuhi segala SOP yang ditetapkan.

"Hal ini supaya pelajar-pelajar dapat belajar secara bersemuka seperti biasa tanpa menggunakan sistem penggiliran lagi," katanya.