SEJARAH baharu terpahat pada 9 Mei 2018 apabila rakyat memilih gabungan yang baharu bagi Malaysia. Rakyat memilih melalui pilihan raya dan berharap agar suara mereka didengari.
Lebih setengah tahun berlalu, kita menghadapi beberapa PRK dan satu lagi bakal menjelma tidak lama lagi. Pilihan raya kecil tersebut dilihat menjadi satu petanda bagaimana gabungan yang baharu ini berfungsi sebagai sebuah pentadbiran yang cekap dan telus.
Kekalahan dalam dua PRK mungkin memberi gambaran bahawa ada kepincangan. Atau ia hanyalah disebabkan oleh calon yang diketengahkan.
Dalam mana-mana pilhan raya, rakyat akan memilih seorang wakil bagi mengutus suara mereka, dan bagaimana kita memilih wakil tersebut bergantung kepada parti yang diwakili serta calon yang bakal diketengahkan.
Secara keseluruhan, kita mahukan kehidupan lebih baik untuk diri dan keluarga. Prasarana, peluang, perkhidmatan dan suasana persekitaran lebih baik.
Ahli politik yang berbicara tanpa berfikir dengan kenyataan yang dilihat kurang bijak hanya membawa maksud orang yang mengucapkannya sememangnya kurang cerdik atau belum mencapai tahap kematangan diperlukan.
Ahli politik yang bergaya kurang indah dan memaparkannya dengan bangga di media sosial juga berada di tahap sama. Ahli politik yang memperkenalkan sesuatu polisi baharu tetapi kemudiannya membuat pusingan-U adalah juga petanda kurangnya kajian dilakukan sebelum memperkenalkan sesuatu polisi. Berwibawa itu amat penting.
Adakah gabungan yang baharu ini tidak berjaya mencapai tahap yang kita inginkan?. Tidak ada pilihan lain, mereka perlu berjaya kerana kita memerlukan perubahan.
Contohnya; sistem pelajaran memerlukan prasarana yang lebih baik – anak-anak sekolah masih lagi membawa beg yang beratnya hampir separuh berat badan mereka. Mungkin tidak di sesetengah sekolah, tetapi masih banyak sekolah yang tidak mampu memberikan tempat selesa bagi anak-anak menyimpan buku mereka dan tidak perlu diangkut setiap hari.
Tidak bersekolahkah anak menteri dan pegawai-pegawai? Terkadang kita yang sudah dewasa tidak lagi mampu membayangkan betapa kita juga dahulu kecil dan tidak begitu bertenaga seperti kita yang dewasa.
Ini belum lagi menyentuh silibus diajar di sekolah peringkat rendah atau menengah yang amat memeningkan kepala anak-anak kita. Malah Profesor Diraja Ungku Aziz juga pernah mengeluarkan kritikan, sistem pelajaran kini hanya menggalakkan penghafalan, bukannya pemikiran.
Menurut beliau, ini menyebabkan para murid lebih cenderung untuk bergantung kepada jawapan contoh, hafalan dan soalan ramalan (spotted questions) daripada memahami konsep dan teori yang berkenaan.
Persoalannya, kita hendak anak-anak kita menjadi apa sebenarnya ?. Ini antara yang perlu diberi perhatian oleh peneraju baharu yang menerajui kementerian tersebut dengan lebih realistik lagi.
Persoalan lain, adakah kita tidak faham keadaan kewangan negara sekarang? Tidak semua mampu memahaminya, kerana masih ramai yang bergelut dengan kesengsaraan keadaan hidup keluarga masing-masing.
Ada juga yang tidak langsung berpeluang menimba ilmu bagi memahami dunia kewangan negara. Yang kita fahami adakah apa yang boleh gabungan baharu lakukan bagi menangani pelbagai masalah yang dihadapi sekarang.
Kos hidup yang tinggi, penyelenggaran jalan dan prasarana kurang baik, perkhidmatan awam masih kurang cekap, dan pelbagai kes rasuah masih berleluasa.
Terbaharu pencemaran kimia yang teruk di Sungai Kim Kim dengan beratus rakyat terkesan, sesetengahnya masih lagi bergelut dengan masalah kesihatan serius. Mereka yang membenarkan ia berlaku tidak punya matakah atau tidak punya hati nurani?
Ahli politik yang berkuasa perlu menjalankan tugas mereka dengan lebih cekap. Kajian terperinci yang telus perlu dilakukan bagi mencari penyelesaian terbaik. Kita perlukan integriti. Kita perlukan kewibawaan. Kedua-dua tidak boleh dibeli atau ditampal sebaik mengangkat sumpah jawatan, atau ditemui di dalam pejabat yang indah tersergam.
Kota Rom sememangnya bukan dibina dalam tempoh sehari, tetapi mereka bermula dengan asas yang kukuh dan kemahuan teguh untuk berjaya.
Wibawa seorang ahli politik atau calon membawa kesan amat besar kerana ia satu kepercayaan. Mahukah kita memilih calon yang kita tidak percaya? Memilih dengan bijak dan perkukuhkan gabungan yang ada kerana rakyat percaya akan adanya perubahan.
Rakyat memilih, membayar cukai, membayar tol dan kini rakyat mahukan yang lebih baik. Tanah runtuh Cameron Highlands, pencemaran kimia Sungai Kim Kim, nasi lemak tidak lagi berharga RM1, dan timbunan wang tunai ditemui di dalam almari tidak boleh berlaku lagi. Perkukuhkan gabungan dan berkerja keraslah.
Malah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), juga perlu lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat, polisi dan dasar kerajaan gabungan ini supaya rakyat di luar sana terutama di luar bandar tidak dimanipulasi dengan maklumat yang tidak tepat atau berunsur fitnah yang disebarkan oleh puak pembangkang.
Rakyat juga perlu berfikiran matang dalam menilai sesuatu perubahan dan sewajarnya bersikap adil kepada kerajaan gabungan ini, masakan dalam tempoh tidak sampai setahun bulan dan bintang boleh berada di genggaman tangan.
Kenapa tidak kita sebagai rakyat di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berlapang dada untuk memberi keyakinan dan peluang kepada kerajaan gabungan ini mempamerkan idea-idea mereka untuk satu perubahan yang kita semua impikan.
Seperti kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini, rakyat Malaysia perlu bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan baharu untuk menyelesaikan pelbagai masalah bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.
Menurut beliau, mustahil kerajaan kini boleh menyelesaikan permasalahan dalam tempoh setahun ataupun tiga tahun, malah mungkin lebih daripada itu untuk memperbaiki negara yang telah berada bawah amalan kleptokrasi selama 61 tahun.
"Untuk memperbaiki sesuatu yang sudah lama bukan mudah, tiada ‘tongkat sakti', tidak ada butang automatik yang anda boleh tekan (untuk selesaikan segala-galanya)...ia tidak berfungsi seperti itu...ia memerlukan kerja keras dan air mata serta harus diusahakan oleh semua orang rakyat Malaysia.
"Kita mesti bekerja keras untuk memperbaiki keadaan yang runcing dan proses ini mungkin mengambil masa lama lagi,” katanya semasa berucap pada Majlis Diaspora Bersama Rakyat Malaysia di Perancis, baru-baru ini.
* Tlisan ini merupakan pandangan peribadi penulis