SHAH ALAM - Kerajaan mesti segera mencari mekanisme untuk memastikan kes penderaan seorang kanak-kanak sindrom down dikenali sebagai Bella yang disyaki telah diabai dan didera oleh penjaganya agar tidak akan berulang lagi.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, peraturan yang ada mesti dikuatkuasakan dengan segera.
Menurutnya, kebenaran menjalankan rumah kebajikan dan perlindungan mesti diberi hanya kepada mereka yang benar-benar mempunyai komitmen untuk menjamin nasib anak-anak dalam jagaan.
"Negara kita dikejutkan dengan pelbagai pendedahan menyayat hati dari kamar perbicaraan kes penderaan seorang anak istimewa. Semua warga Malaysia yang bertanggungjawab pasti amat berdukacita dengan kejadian seperti ini. Apatah lagi ia didakwa berlaku di rumah yang sepatutnya memberi perlindungan kepada anak tersebut.
"Sebagai seorang yang pernah menubuhkan dan menjalankan pusat autisme untuk anak-anak istimewa, sudah pasti saya amat terkesan apabila membaca laporan-laporan yang berkaitan kes ini.
"Semasa saya memulakan dan seterusnya mengetuai operasi rumah kebajikan anak-anak autisme tersebut, keselamatan dan kebajikan anak-anak di bawah jagaan kami merupakan perkara paling penting setiap hari dan setiap masa,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kes-kes yang memangsakan kanak-kanak terutama golongan istimewa wajib dipandang serius, diberi perhatian oleh masyarakat dan dipastikan ada pembelaan undang-undang dengan segera.
Jelasnya, Malaysia mesti tegas memberikan perlindungan kepada kanak-kanak dan hak-hak mereka jangan sesekali dikompromi.
"Pembelaan mesti diberikan kepada anak ini, tanpa mengira kedudukan, status, atau kaitan politik mereka yang dituduh. Jangan kerana mereka ini ada kedudukan dan mampu menggunakan pasukan peguam yang mewah, kekejaman mereka tidak dihukum.
"Kita yakin pesalah tidak akan terlepas dari hukuman mahkamah yang setimpal. Apatah lagi di mahkamah akhirat,” ujarnya.