KASA guna lalat askar hitam urus sampah

Iklan
Tuan Ibrahim (tiga dari kanan) menunjukkan kotak yang mengandungi Black Soldier Fly (BSF) di Pasar Borong Pasar Borong Tanah Merah, pada Ahad.

TANAH MERAH - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Projek Pengurusan Sisa Lestari menggunakan sistem Black Soldier Fly (BSF) atau lalat askar hitam dalam langkah menguruskan sampah dengan lebih baik di negara ini.

Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) itu dilaksanakan dengan kerjasama kementerian berkenaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri menerusi pembiayaan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) bernilai RM35 juta di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Katanya, Kelantan antara negeri terawal menerusi GeRAK memilih untuk menggunakan sistem BSF membabitkan daerah di Tanah Merah, Tumpat, Pasir Mas dan Jeli.

"BSF atau nama saintifiknya Hermetia Illucens adalah spesis lalat yang terdapat di negara beriklim tropika dan mampu memproses pelbagai jenis bahan buangan organik harian.

Iklan

"Larva-larva lalat spesis ini adalah model terbaik digunakan untuk kaedah melupuskan sisa-sisa makanan secara lestari dengan membantu mengurangkan pembuangan sampah makanan ke tapak pelupusan sampah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perlancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari BSF di Pasar Borong Tanah Merah di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Iklan

Ujar beliau, proses bermula dengan menempatkan sejumlah 60 peratus BSF betina manakala 40 peratus BSF jantan di ruangan khas yang dibina di lokasi seperti di pasar borong untuk menghasilkan telur 500 sehingga 900 telur.

"Telur akan menetas menjadi larva yang akan memakan sampah makanan dibawa ke ruangan tersebut dalam tempoh 14 sehingga 21 hari, sekali gus dapat mengurangkan jumlah sampah yang dibuang ke tempat pembuangan sampah serta pengurangan pembebasan karbon dioksida.

"Daripada larva bertukar kepada pre-pupae yang boleh digunakan untuk memberi makanan kepada haiwan ternakan seperti burung dan ikan sebelum kembali menjadi lalat,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, GeRAK di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi itu juga berjaya dimanfaatkan 141 PBT di seluruh negara dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bandar rendah karbon merangkumi elemen tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan di kawasan fasiliti awam.

"KASA menerusi MGTC juga melaksanakan Low Carbon Cities Framework (LCCF) sejak tahun 2011 sebagai strategi utama bagi mencapai hasrat negara mentransformasi bandar-bandar di negara ini ke arah bandar rendah karbon.

"Kita amat optimis pelaksanaan konsep bandar rendah karbon akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau domestik dan secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan serta mampu menggamit minat pelaburan asing,” katanya.