Tidak sampai beberapa jam promosi dah kena serbu polis

Iklan
Pengusaha memuat naik iklan berunsur perjudian di media sosial dipercayai bagi menarik pelanggan.

KLANG - Tidak sampai beberapa jam memuat naik iklan berunsur perjudian di media sosial, sebuah premis dipercayai menawarkan aktiviti haram dan berselindung di sebalik kedai runcit diserbu dalam operasi yang dijalankan di Kapar di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya telah mengesan satu iklan dipercayai menawarkan kegiatan perjudian di lokasi berkenaan.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati terdapat satu iklan yang dimuat naik di media sosial yang mempromosi judi jenis dalam talian dan perjudian jenis 4D.

"Serbuan kemudiannya dijalankan kira-kira jam 1.30 tengah hari berjaya memberkas dua individu terdiri seorang lelaki warga tempatan berumur 36 tahun dan seorang lagi lelaki warga Indonesia berumur 28 tahun di premis tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Katanya, pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian turut dirampas.

"Antara yang dirampas melibatkan dua unit mesin pencetak, dua unit telefon yang digunakan untuk kegiatan perjudian loteri awam tanpa lesen, empat slip cetakan angka-angka disyaki perjudian dan enam buku baucar promosi.

Iklan

"Semakan rekod mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Sek 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

"Polis memandang serius segala kegiatan perjudian dan sentiasa akan mengambil tindakan tegas untuk membanteras kegiatan ini," katanya.