GERIK - Projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktof (NR-REE) yang dicadang dibangunkan di mukim Kenering di Hulu Perak tidak akan diteruskan sekiranya pelaksanannya memberi impak negatif terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan projek perlombongan di tapak projek rintis itu sepertimana diumumkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada Jumaat lepas bukanlah melibatkan pembangunan secara keseluruhannya.
Sebaliknya jelas beliau, lesen perlombongan itu hanya diluluskan kepada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) untuk projek perintis sebelum satu kajian semula dan penilaian impak dilakukan bagi menentukan sama ada boleh diteruskan atau dihentikan.
"Apa pun keadaannya, ini projek perintis, selagi mana tidak dimulakan, kita tidak boleh tahu sama ada beri kesan baik atau tidak baik atau sebaliknya.
"Daripada projek perintis inilah nanti kita akan buat kajian secara saintifik, jika baik kita akan teruskan dan jika tidak baik, sudah pasti akan dihentikan," katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan Ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Dala 8 dan 9 di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Sapiah Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Graha Risda Plantation, Mohamad Arif Ismail.
Saarani berkata, pelaksanaan projek perintis itu sebelum ini tertangguh dalam tempoh lama kerana perlu menunggu kelulusan dokumen prosedur operasi standard (SOP) NR-REE daripada Kabinet.
Katanya, sebelum dokumen itu diluluskan, KeTSA terlebih dahulu embuat sesi libat urus dengan semua jabatan dan agensi negeri, termasuk wakil rakyat dan penduduk untuk sama-sama memberi pandangan tentang SOP yang dicadangkan.
"Setelah semua libat urus ini selesai, maka SOP berkenaan telah diterima dan diluluskan, malah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan datang menyerahkan dokumen tersebut kepada kerajaaan Perak.
"Dengan SOP itu, barulah kita boleh membangunkan cadangan tapak NR-REE bagi projek perintis ini dahulu, bukan mahu bangunkan keseluruhan," katanya.
Dalam laporan media Jumaat lepas, Takiyuddin berkata, KeTSA bersama kerajaan negeri Perak menjalin kerjasama membangunkan projek perintis perlombongan NR-REE di mukim Kenering di Hulu Perak.
Cadangan perlombongan di tapak projek rintis ini adalah inisiatif kerajaan dalam memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan secara cekap dan teratur melalui SOP dibangunkan sebelum diperluaskan ke negeri lain.
Dalam perkembangan lain, Saarani menyambut baik inisiatif ladang TSK menerusi tanaman getah di RPS Dala kerana dapat membantu meningkatkan pendapatan masyarakat orang asli di situ.
Katanya, seramai 102 peserta dari empat kampung iaitu Kampung Sarok, Kampung Malela, Kampung Sungai Untung dan Kampung Bukit Nangka terlibat dalam projek itu melibatkan keluasan 200 hektar.
"Projek ini telah dibangunkan sejak 2013 dan mula tanam pada 2015 dengan kos lebih RM5.8 juta, sehingga kini ladang ini mempunyai 57,322 pokok untuk penduduk menjalankan aktiviti menoreh," katanya.
Selain RPS Dala, projek yang diusahakan di atas tanah milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan dikendalikan Risda itu telah diperluas ke kawasan penempatan orang asli lain antaranya Pos Legap dan Kuala Mu di Sungai Siput, RPS Kajang di Kuala Kangsar dan Pos Kemar di Gerik.