JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan bertemu dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan beberapa menteri utamanya di republik tersebut pada Isnin.
Beliau yang melakukan lawatan kerja di Singapura bermula Sabtu hingga Selasa ini memaklumkan perkara tersebut dalam Facebook miliknya pada Ahad.
"Saya berada di Singapura bagi lawatan kerja. InsyaALLAH kalau diizinkan saya dijadualkan berjumpa Perdana Menteri Singapura dan beberapa Menteri utama Singapura.
"Semoga semuanya berjalan baik dan lancar demi masa depan dan kemakmuran bersama," tulisnya dalam hantaran terbaru tersebut.
Onn Hafiz turut memaklumkan beliau sempat melawat Masjid Temenggong Daeng Ibrahim atau juga dikenali sebagai Masjid Diraja Teluk Blangah di Singapura.
Sementara itu dalam hantaran berasingan, beliau berkata, kerajaan negeri memberikan sumbangan RM10,000 kepada pemain perseorangan wanita muda negara, Myisha Mohd Khairul atas kejayaan menjuarai Dutch International 2022.
Menurutnya, kejayaan sulung Myisha di pentas kejohanan antarabangsa itu merupakan pencapaian yang membanggakan buat Malaysia dan Johor khususnya.
Onn Hafiz berkata, atlet muda di negeri ini perlu mencontohi semangat juang ditunjukkan Myisha bagi mengharumkan nama Johor.Myisha, 19, memperoleh kemenangan tersebut menewaskan rakan senegara, Siti Nurshuhaini Azman 21-19, 18-21, 21-19 pada aksi final yang berlangsung kira-kira 70 minit.
Myisha akan bersama skuad negara beraksi dalam saingan Piala Uber di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei ini.