TANAH MERAH - Pembangunkan projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di mukim Kenering di Hulu Perak perlu dipastikan mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyediaan EIA di negara ini adalah keperluan di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, menjadi keutamaan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara lestari tanpa memberi impak yang negatif kepada alam sekitar
"Laporan EIA akan membolehkan penilaian terhadap impak ke atas kesan alam sekitar serta mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk mencegah, mengurang atau mengawal kesan negatif terhadap alam sekitar dapat dilakukan.
"Kelulusan EIA itu nanti perlu memenuhi beberapa syarat seperti keluasan tanah melebihi 50 hektar, kecerunan lebih 25 darjah serta digazetkan sebagai kawasan hijau,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari Lalat Askar Hitam (BSF) di Pasar Borong Tanah Merah, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Mengulas lanjut, projek perintis tersebut juga tidak boleh mengganggu sumber air yang digunakan oleh penduduk.
"Pemaju bertanggungjawab untuk menyediakan langkah atau kaedah yang lebih awal untuk mengawal hakisan bagi menggelakkan masalah seperti pencemaran air,” katanya.
Akhbar pada Jumaat lalu melaporkan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama kerajaan Perak menjalin kerjasama bagi membangunkan projek perintis perlombongan NR-REE di mukim Kenering di Hulu Perak.
Cadangan perlombongan di tapak projek rintis ini adalah inisiatif kerajaan dalam memastikan aktiviti perlombongan NR-REE dijalankan secara cekap dan teratur melalui prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan sebelum diperluaskan ke negeri lain.