KOTA BHARU - Hasrat seorang ibu untuk berbuka puasa bersama anak lelakinya di sebuah kedai makan di sini pada Jumaat terbantut apabila lauk ikan keli berlada yang mahu dijamah bersama nasi putih dipenuhi dengan ulat.
Mangsa yang mahu dikenali Raydaa Alrashidi, 50, berkata, semasa anaknya mahu menjamah hidangan itu sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, dia terkejut mendapati hidangan itu penuh dengan kumpulan ulat berwarna putih.
"Ulat-ulat itu berada di bahagian dalam ikan keli tersebut, sebab itulah pada awalnya kami tidak nampak. Selepas mencubit isi ikan kami nampak ulat yang bergerak-gerak keluar.
"Saya kemudian melarang anak untuk menjamah hidangan itu dan hanya menikmati seteguk air tanda berbuka puasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, selepas itu dia terus memaklumkan perkara tersebut kepada pekerja di premis berkenaan dengan menunjukkan rakaman video yang diambil semasa menyedari kehadiran ulat tersebut.
Katanya, pekerja premis berkenaan kemudian membawa nasi dan lauk itu ke dalam tanpa berkata apa-apa.
Raydaa berkata, semasa mahu membuat bayaran, pemilik premis memberitahu supaya membayar seperti biasa kecuali harga ikan keli berlada itu.
"Terkilan dengan tindakan itu saya telah memuat naik rakaman video tersebut di laman sosial Facebook.
"Saya terkejut mendapati video dan status itu tular. Selepas itu barulah pemilik premis berkenaan mesej melalui Facebook memohon maaf kepada saya," katanya.