Kerabat diraja Perak lemas di Pulau Perhentian

Iklan
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita lemas ketika melakukan aktiviti menyelam scuba di Teluk Dalam, Pulau Perhentian kira-kira jam 4.12 petang semalam.

Difahamkan mangsa yang berusia 62 tahun adalah kerabat diraja Perak, lemas ketika melakukan aktiviti tersebut bersama beberapa penyelam lain di bahagian belakang Pulau Perhentian Besar itu.

Menurut sumber, kejadian berlaku dipercayai akibat tangki udara dipakainya mengalami masalah ketika mangsa berada pada kedalaman 16 meter.

Iklan
Iklan

Katanya, kejadian itu disedari oleh salah seorang jurulatih yang turut berada di dalam air apabila tiba-tiba mendapati keluar banyak buih udara dari bahagian mulut mangsa.

Jurulatih tersebut kemudian melihat mangsa terus turun dasar sehingga pada kedalaman 19 meter dalam keadaan badannya lemah.

Iklan

Mangsa telah dibawa naik ke permukaan air sebelum kumpulan tersebut berusaha memberi bantuan pernafasan (CPR) namun mangsa tidak memberi respon.

Menurut sumber lagi, mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik tersebut.

Iklan

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut malam tadi sebelum dituntut oleh waris kira-kira jam 2.50 pagi ini dan difahamkan jenazah dibawa pulang ke Tambun, Perak menggunakan van jenazah Hospital Besut diiringi polis trafik.

Mangsa yang dikatakan mempunyai lesen menyelam skuba tiba di Pulau Perhentian pagi semalam dari Kuala Lumpur bersama dua anak lelakinya yang berusia 20 dan 30-an.

Sementera itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi mengesahkan terdapat kejadian lemas membabitkan seorang wanita di pulau tersebut semalam.

Menurutnya, pemeriksaan perubatan mengesahkan mangsa mati akibat lemas dan tidak ada sebarang unsur jenayah.

"Kejadian lemas itu membabitkan seorang wanita ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Perhentian Besar petang semalam dan kejadian ini merupakan kes kedua lemas di Pulau Perhentian pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi.