MAFI tambah baik dasar agromakanan

Iklan
Ronald Kiandee (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau kawasan Sugut pada majlis penyampaian sumbangan tersebut di Pejabat Daerah Kecil Paitan, pada Ahad. - Foto Bernama 


PAITAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menambah baik dasar agromakanan sedia ada bagi memastikan kemampanan bekalan makanan negara berasaskan faktor-faktor yang mencabar pengeluaran bahan makanan negara, kata menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, langkah itu juga penting bagi merancakkan lagi sektor tersebut melalui pertumbuhan industri selain memperkenalkan dasar baharu yang akan menggalakkan penanaman tanaman yang sebelum ini tidak diberi tumpuan.

Iklan
Iklan

"Antaranya adalah penanaman jagung bijirin untuk menampung kekurangan bekalan dan juga kenaikan kos import.

"MAFI sentiasa melihat dan mengkaji dasar sedia ada dan menumpukan penambahbaikan dasar...jadi, kita berharap pembukaan semula kegiatan ekonomi (dalam fasa peralihan negara ke endemik) akan terus merancakkan sektor agromakanan," katanya di sini malam Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada surau dan masjid di Sugut dekat sini.

Ronald berkata, kementeriannya sentiasa menggalakkan pertumbuhan industri agromakanan dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 akan menumpukan pemodenan sektor agromakanan serta pertumbuhan industri hiliran menjelang 10 tahun akan datang. - Bernama

Iklan