SHAH ALAM - Bersempena dengan sambutan Nuzul al-Quran pada tahun ini, buat julung kalinya, bahagian Islamik Sinar Harian, Sinar Islam Plus (SI+) akan mengadakan Majlis Khatam al-Quran.
Bertemakan Tinta Emas Mencipta Generasi Taqaddum, majlis akan diadakan pada 19 April bertempat di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam bermula jam 5 petang.
Seramai 15 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah telah mendaftarkan diri untuk mengambil bahagian pada acara memuliakan al-Quran itu.
Menurut Pengarah Projek, Meen Tahrin, dua orang mualim yang bertauliah akan membimbing anak-anak itu ketika acara berlangsung.
Katanya, sebagai tanda penghargaan, setiap peserta akan diberikan sijil berserta senaskhah al-Quran kerana berjaya khatam al-Quran dalam usia yang muda.
Di samping itu, mereka juga bakal menerima duit raya sumbangan ikhlas daripada Sinar Karangkraf.
"Kami berharap agar majlis ini memberi inspirasi kepada anak-anak yang lain untuk terus membaca al-Quran dan sekali gus menjadikan al-Quran sebagai teman setia mereka.
"Semoga program ini berupaya menjadi cetusan kepada ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka mencintai warisan agung peninggalan Nabi Muhammad SAW. Seterusnya dijadikan sebagai amalan rutin dan panduan kepada kehidupan kita.
"Insya-ALLAH, kita akan menjadikan majlis ini sebagai acara tahunan dan lebih besar lagi tentunya pada masa akan datang, bergantung kepada situasi semasa,” ujarnya.
Majlis yang mendapat tajaan daripada CO-OP Bank Pertama itu akan dipancarkan secara langsung melalui semua media sosial Sinar Harian termasuk Facebook SI+, SinarPlus dan Sinar Bestari.