AMPANG - KDEB Waste Management (KDEBWM) menyantuni penghuni Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf An-Naafi menerusi Program Rewang Iftar bersama Sinar Harian yang berlangsung pada Jumaat.
Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, program pengisian Ramadan di bawah peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan acara tahunan syarikat bersama masyarakat.
Menurutnya, program menyantuni anak yatim itu memberi peluang KDEBWM berkongsi kegembiraan dan mendidik diri untuk bersyukur dengan kehidupan yang dinikmati sekarang.
"Pada saat ekonomi genting ini, golongan berkemampuan seperti kita perlu memberi kepada yang lebih memerlukan.
"Apabila berbuka bersama mereka, ia menyuntik kesedaran bahawa ada yang lebih susah dan lebih memerlukan daripada kita,” ujarnya pada program yang diadakan di Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf An-Naafi di Bukit Antarabangsa di sini.
Ahmad Rizal berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program Ramadan yang dilaksanakan pada tahun lepas.
"Tahun lepas ada kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun KDEBWM tetap melaksanakan program berbuka puasa dengan petugas barisan hadapan seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk anak-anak yatim dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
"Kali ini program dijayakan bersama Smash Burger yang mengajar penghuni rumah kebajikan ini memasak burger dibantu Sinar Harian yang prihatin dengan isu rakyat. Kami harap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Menerusi program tersebut, KDEBWM menyumbang dana sebanyak RM1,500 bagi dana rumah kebajikan berkenaan serta agihan duit raya bersama beg sekolah.
Pada program sama, syarikat pengurusan sisa pepejal di Selangor itu turut memberikan pendedahan kaedah pengurusan sisa sampah melalui pengasingan sisa kepada penghuni rumah kebajikan tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Rizal berkata, tabiat pengurusan sampah yang betul penting untuk diterapkan sejak usia kecil dan diamalkan hingga dewasa.
"Kita didik kepentingan kurangkan penghasilan sampah kerana setiap sampah dihasilkan ada kosnya dan perlu diuruskan dengan betul bagi mengelak risiko bawaan penyakit.
"Saya harap pendedahan itu dapat menjadi amalan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
Peluang keemasan
Sementara itu, Pengasas Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf An-Naafi, Aishah Razali, 35, mengalu-alukan program yang dianjurkan itu bagi mengeratkan silaturahim dan memberi peluang kepada anak-anak kurang bernasib baik bersosial dengan dunia luar.
"Saya anggap anak-anak ini seperti keluarga sendiri dan orang luar boleh lihat keakraban kami kerana mahu mereka selesa tinggal di sini serta boleh berkongsi masalah.
"Program seperti ini perlu dianjurkan bagi mengajar mereka cara bersosial supaya tidak kekok berkomunikasi selain berkeyakinan untuk berjumpa orang ramai,” jelasnya.
Pusat kebajikan itu ditubuhkan pada tahun 2018 dan mempunyai 26 penghuni daripada pelbagai latar belakang keluarga dari seluruh Malaysia termasuk Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Sarawak.
Menurut Aishah, pengalaman bekerja sebagai kerani dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digunakan sebaiknya bagi menguruskan pusat kebajikan tersebut.
"Saya sendiri merupakan anak yatim sejak usia 10 tahun, cita-cita saya untuk jadi peguam namun selepas ayah meninggal dunia saya hidup susah bersama ibu saya yang merupakan orang kurang upaya.
"Sedikit sebanyak saya dapat selami perasaan anak kurang bernasib baik ini dan saya mahu membela nasib mereka.
"Saya tak mahu mereka hidup susah seperti saya yang terpaksa berhenti bersekolah seawal usia 12 tahun,” ujarnya.
"Saya teruja apabila dapat mempelajari cara pembuatan daging burger dan menu set burger. Ia sangat bermanfaat dan ilmu itu boleh digunakan sebagai sumber pendapatan pada satu hari nanti.
Terima kasih semua kerana memberi peluang kepada kami untuk menikmati juadah berbuka yang istimewa dan unik berbanding hari-hari biasa.”
- Amirul Rafiq Abdullah, 17
"Saya gembira dapat berjumpa orang ramai dan mempelajari benda baharu seperti membuat burger dan cara pengurusan sisa sampah dengan betul. Terima kasih KDEBWM dan Sinar Harian yang berkongsi kegembiraan Ramadan bersama kami.”
- Siti Mariam Ali Abdullah, 15