JOHOR BAHRU - Tragedi pencemaran kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang memberi dua pengajaran sangat besar kepada Kerajaan Johor dan seluruh masyarakat di negeri ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertama, tentang keperluan untuk kerajaan negeri memperkemaskan prosedur serta garis panduan sedia ada berhubung pengurusan kes kecemasan atau krisis alam sekitar.
"Ini kerana jelas dan terbukti bahawa kelembapan dan kegagalan kerajaan negeri untuk bertindak segera menjadi antara penyumbang yang memburukkan keadaan di Pasir Gudang tempoh hari.
"Saya yakin dengan adanya garis panduan serta prosedur lebih kemas, kelewatan tindakan seperti ini tidak akan berulang. Ia membolehkan kerajaan negeri khususnya menteri besar bertindak pantas. Tidak kiralah pada waktu kejadian beliau berada di Jerman atau Batam atau mana-mana sahaja pelosok dunia,” katanya di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kedua, beliau percaya tragedi pencemaran kimia itu wajar menjadi faktor pemangkin untuk menyegerakan pembinaan Hospital Pasir Gudang yang telah dirancang lama.
Katanya, semasa pentadbirannya, antara perkara utama yang sangat mengambil masa untuk diselesaikan adalah rundingan memastikan hospital tersebut dibina di kawasan yang sesuai.
"Ini menyebabkan berlakunya penukaran tapak dalam cadangan asal yang dinilai sebagai tidak sesuai sekali gus memakan masa kerana keperluan mencari tapak baru yang lebih sesuai.
"Akhirnya, perkara ini telah pun berjaya diselesaikan. Peruntukan sudah diumumkan dan proses pecah tanah juga telah dilakukan pada 4 Mei 2018. Namun, sehingga kini nampaknya masih belum ada sebarang perkembangan,” katanya.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, kerajaan negeri sepatutnya serius meneruskan pelan itu dengan segera bersama dengan Kerajaan Persekutuan.
"Malah, perkara ini turut mendapat perhatian Sultan Johor yang menitahkan agar ia disegerakan.
"Yang pasti, kepesatan pembangunan Pasir Gudang sebagai sebuah kawasan industri dan mempunyai penduduk yang ramai mesti dilengkapkan dengan infrastruktur serta prosedur keselamatan yang menyejahterakan semua pihak,” katanya.