BELO HORIZONTE - BRAZIL. Gergasi perlombongan Brazil, Vale semalam berkata penduduk di tenggara Minas Gerais telah diarah berpindah selepas juruaudit bebas mendapati salah satu empangannya berisiko runtuh pada bila-bila masa.
Pada Jumaat, syarikat itu menaikkan tahap amaran di empangan Barao de Cocais kepada tiga, iaitu pada paras bahaya.
Menurut setiausaha perlombongan dan tenaga Brazil, tahap tiga bermakna telah berlaku rekahan atau rekahan sudah terbentuk.
Penduduk dalam lingkungan 10 kilometer dari empangan tersebut telah pun diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa pada bulan lalu selepas Vale menaikkan tahap amaran kepada dua.
Jurucakap Vale yang enggan namanya disiarkan, sejak bulan lalu kira-kira 442 orang telah dipindahkan ke penempatan sementara.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Flavio Godinho berkata, pihak berkuasa sedang mengkaji struktur empangan Barao de Cocais bagi merangka pelan kontingensi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Sebarang aktiviti di empangan itu boleh menyebabkan ia runtuh," katanya.
Pada Januari lalu, empangan milik Vale di Brumadinho runtuh menyebabkan sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh atau hilang. - Agensi