JOHOR BAHRU - Tiada siapa menyangka di sebalik wajah tenang, terselit pelbagai kisah duka dan sengsara ditanggung Nur Rizan Aman, 46, di Kampung Melayu Majidee di sini yang membesarkan empat anak berusia 21 hingga 14 tahun.
Lebih memeritkan, lima beranak itu terpaksa tinggal dalam keadaan rumah kayu yang hampir bocor di semua bahagian atap selain tidak mempunyai bekalan elektrik selepas dipotong tiga tahun lalu.
Nur Rizan yang tidak bekerja kerana mengalami sakit jantung bersama-sama anak-anaknya menumpang di rumah itu yang dimiliki nenek suaminya dalam keadaan daif sejak berpindah dari Pagoh ke Johor Bahru 12 tahun lalu.
"Setiap kali hujan, kami akan berlindung di satu bahagian belakang rumah secara berhimpit-himpit. Kami juga terpaksa guna lilin atau ihsan jiran untuk dapat bekalan elektrik.
"Kami sekeluarga hidup dengan sumbangan Baitulmal sebanyak RM400 sebulan di samping dibantu anak sulung, Siti Aminah Mohamad Zamri, 21, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah berdekatan.
"Selain itu, jiran-jiran juga sangat bermurah hati membantu kami sekeluarga," katanya kepada pemberita semasa menerima kunjungan Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam yang memberikan sumbangan di rumahnya, pada Ahad.
Katanya, Siti Aminah sebelum ini tidak dapat meneruskan hasrat menyambung pelajaran kerana mengalami sakit saraf seluruh badan sejak berusi 13 tahun dan memerlukan rawatan kemoterapi.
Nur Rizan sebelum ini bekerja di kedai makan di kampung itu pada sebelah siang dengan gaji RM40 sehari manakala pada sebelah malam bekerja pula sebagai pengawal keselamatan dan memperoleh RM1,500 sebulan.
Namun disebabkan sakit jantung yang alaminya sejak lapan tahun lalu semakin teruk dan sering sesak nafas serta kebas kaki serta tangan, dia terpaksa berhenti kerja pada Disember lalu untuk mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
"Disebabkan motosikal yang satu-satunya kami ada rosak dan tidak mampu membaikinya, saya tidak lagi meneruskan rawatan selain tidak mampu. Keadaan ini membuatkan kami hidup seadanya," katanya.
Tambahnya lagi, akibat kesempitan hidup, anak ketiga, Muhammad Syafiq Daniel, 15, dan anak keempat, Muhammad Syafiq Haziq, 14, terpaksa berkongsi baju sekolah secara bergilir setiap hari.
"Seorang daripada mereka tidak pergi sekolah setiap hari kerana terpaksa kongsi baju sekolah. Keadaan ini turut menjejaskan anak kedua, Siti Aisyah, 19, yang kini belajar di kolej Centre Foundation Studies (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gambang, Pahang.
"Siti Aisyah kini mengikuti kelas secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit kerana tiada komputer riba selain masih menggunakan cermin mata dipakainya sejak Darjah Enam yang kini tidak lagi sesuai kerana sudah semakin rabun. Siti Aisyah juga terpaksa berkongsi cermin mata Daniel dan Haziq yang turut mengalami masalah rabun," katanya.
Mengenai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, Nur Rizan bersyukur kerana ada individu yang akan membelikan mereka pakaian pada kali ini selain akan menyambut hari lebaran seadanya.
Nur Rizan kini sedang mencuba untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk Siti Aminah yang kini dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
Sementara itu, Mas Imran berkata, pihaknya menghulurkan sumbangan barang keperluan harian termasuk barang basah dan perkakas elektrik semuanya bernilai RM1,000 bagi meringkanan beban mereka.
"Guru sekolah anak-anak Nur Rizan memberitahu, semua anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran tetapi disebabkan tidak mampu, Siti Aminah tidak dapat melanjutkan pelajaran, mereka amat memerlukan bantuan," katanya.
Sumbangan untuk keluarga ini boleh dibuat menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nur Rizan Aman 0115641000127623 atau akaun Bank Muamalat milik Siti Aisyah 01010041078723 atau boleh berhubung dengan Siti Aisyah menerusi talian 010-2713929.