Mydin Tunjong lokasi utama World #QuranHour di Kelantan

Iklan
Ameer Ali memegang plakad World #QuranHour sebagai tanda sokongan terhadap program tersebut pada 26 April ini.

PETALING JAYA - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menjadi penganjur utama World #QuranHour yang akan diadakan pada 26 April ini di Kelantan.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, Mydin terbesar yang dibina di Tunjong akan menjadi lokasi rasmi program tersebut dan mampu memuatkan sehingga 500 pengunjung di pentas utama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia merupakan satu kelainan kerana dapat menarik pengunjung dari pelbagai latar belakang kerana sebelum ini acara tersebut hanya dilakukan di masjid-masjid.

"Mydin sebagai satu ahli korporat, dimiliki oleh orang Islam, dan pasar rayanya menjual barangan halal sahaja. Jadi, kami rasa ini peluang yang bagus untuk bersama dalam #QuranHour.

Iklan

"Dengan platform ini, dapat memberikan pelanggan lebih memahami al-Quran. Jika sebelum ini, acara ini hanya dilakukan di masjid-masjid, jadi orang yang sama sahaja menyertai #QuranHour ini.

"Apabila buat di pasar raya yang besar seperti Mydin ini, mungkin orang yang lain pula akan nampak dan pergi acara tersebut. Jadi, lebih ramai dan dapat penyertaan yang berlainan daripada yang biasa.

Iklan

"Dalam masa sama dengan penganjuran ini, ia bukan sahaja mampu menarik umat Islam tetapi juga kepada bukan Islam. Bukan hanya tertumpu kepada satu agama sahaja. Benda ini penting dekat Malaysia kerana kita boleh memahami agama yang lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

World #QuranHour dengan kerjasama rakan Sinergi Media Malaysia kembali untuk tahun ketujuh membawakan tema 'Dunia Bersujud' pada 26 April ini.

Hussamuddin berkata, penganjuran kali ini diyakini mampu tampil lebih hebat sekali gus memperkukuhkan gelombang gerakan 'Baca, Faham dan Amal Al-Quran' dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Ameer berkata, Mydin telah membuat perancangan dengan teliti memandangkan ia merupakan pasar raya pertama menganjurkan program tersebut.

"Saya berharap perkara ini dapat berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Harapnya tiada sebarang kesilapan dan akan mendapat sokongan daripada awam,” ujarnya.

Beliau berharap, dengan sokongan Mydin terhadap World #QuranHour tersebut, dapat menarik lebih banyak syarikat korporat untuk bersama dalam menyokong acara yang mulia pada bulan Ramadan ini.

"Jadi, #QuranHour ini nanti bukan sahaja dibuat di masjid. Dengan sokongan ramai, ahli korporat boleh melakukannya di pejabat atau di bangunan mereka sendiri,” katanya.

Beliau turut berharap program tersebut mendapat sambutan di luar jangka seperti Earth Hour yang dilancarkan bagi menjimatkan tenaga elektrik.

"Kalau Earth Hour, satu dunia semua sekali akan bersama dari jam 8 hingga 9 malam untuk mencapai objektif acara tersebut. Jadi, kita perlu gunakan konsep yang sama dalam #QuranHour.

"Umat Islam perlu bersama dalam program ini. Ia penting kerana dalam al-Quran banyak mengajar kita untuk menjadi seseorang yang berguna. Berbeza dengan masa sekarang ini, ramai yang tertumpu kepada penggunaan internet seperti Google untuk menyelesaikan masalah,” ujarnya.