Petani maut dirempuh penyeludup ketum

Iklan
Kereta Proton Iswara yang dinaiki mangsa dan isteri remuk di bahagian kanan hadapan akibat dirempuh oleh kereta penyeludup ketum. FOTO: ihsan IPD Kubang Pasu

JERLUN - Seorang petani maut selepas kereta dinaiki bersama isterinya dirempuh penyeludup yang membawa muatan 500 kilogram (kg) ketum di Jalan Kampung Padang Gelanggang, Ayer Hitam, di sini, awal pagi Isnin.

Mangsa, Ahmad Sofberi Sharif, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Hananie Hassim, 28, parah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan kaki.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang memandu Proton Iswara bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pida 8, Sanglang.

"Penyeludup yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) sarat dengan muatan ketum pula dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kangar, Perlis.

Iklan

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu MPV Nissan Grand Livina berusia 29 tahun itu disyaki cuba memotong lori sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkan kenderaan itu merempuh bahagian hadapan kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bungkusan ketum yang ditemui dalam kenderaan MPV milik penyeludup terbabit.

Menurut Rodzi, penyeludup yang tidak memiliki lesen memandu dan berasal dari Kaki Bukit, Perlis turut cedera parah pada tangan dan kepala, serta patah kaki kanan.

Iklan

"Mangsa dan isterinya tersepit dalam kenderaan dan memerlukan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra untuk mengeluarkan mereka,” katanya lagi.

Menurutnya, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi manakala isterinya dan pemandu MPV dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan lanjut.

"Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat selepas keputusan swab Covid-19 mangsa diperoleh,” katanya.

Rodzi memaklumkan siasatan lanjut berhubung kes ini masih dilakukan dan berharap orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.