KAJANG - Seramai 45 individu membabitkan warga tempatan dan warga asing dituduh di Mahkamah Majistret Kajang berkaitan sindiket penipuan tawaran kerja pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sebanyak lima kertas siasatan dibuka sebelum ini.
Iklan
Iklan
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya.
"Mereka ialah 39 lelaki dan enam wanita akan dituduh di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, tangkapan ke atas kesemua Orang Kena Tuduh (OKT) dilakukan pada Selasa oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan di bantu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kajang.
"Kesemua OKT ditahan dalam serbuan membabitkan lima kediaman di sebuah apartmen di kawasan Kajang.
"Serbuan turut berjaya merampas 33 unit komputer riba, 138 unit telefon bimbit serta lain-lain barang yang digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan," katanya.