PUTRAJAYA - Satu peraturan kecil berhubung penggunaan skuter elektrik (e- skuter) akan diputuskan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, peraturan tersebut akan melihat secara jelas mengenai penggunaan e-skuter.
"Kita lihat e-skuter ini satu trend dan satu peraturan kecil akan dikeluarkan kementerian," katanya.
Menurutnya, penggunaan e-skuter terdedah kepada bahaya kerana kelajuannya lebih tinggi seperti motosikal.
"Kita akan semak spesifikasi dan takrifan e-skuter ini dan mungkin pembekal dan pengguna memerlukan lesen," katanya pada sidang akhbar pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri, dekat sini pada Isnin.
Beliau berkata, penggunaan kenderaan elektrik seperti e-skuter termaktub dalam pindaan Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020.
Pindaan itu katanya, merangkumi semua aspek kenderaan mikro mobiliti yang mempunyai peraturan kecil mengenai spesifikasi kenderaan tersebut.
"Kita kena perhalusi setiap satu dan pendekatan sudah dibuat berkali-kali kerana jumlah mikro mobiliti ini banyak," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai penggunaan e-skuter yang menjadi trend terkini di kalangan masyarakat.
Sebelum ini portal melaporkan penggunaan e-skuter di jalan raya ibarat menempah maut apabila penggunanya tidak menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.