MOSTI sasar 1.5 juta sertai MSN Keluarga Malaysia 2022

Iklan
MSN yang bermula April hingga Oktober 2022 akan menampilkan konsep berbeza setiap bulan berteraskan tujuh bidang yang telah disenarai pendek.

KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 1.5 juta penyertaan terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), pendidik dan saintis, sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) pada Minggu Sains Negara (MSN) Keluarga Malaysia 2022.

MOSTI, selaku peneraju utama MSN memaklumkan acara yang bermula April hingga Oktober 2022 itu akan menampilkan konsep berbeza setiap bulan berteraskan tujuh bidang yang telah disenarai pendek dengan setiap bidang akan memberi fokus terhadap penerapan tema rentas kluster.

Iklan
Iklan

Tujuh bidang fokus tersebut adalah Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Kegunaan Aman Nuklear, Inovasi Sosial, Kejuruteraan, Nanoteknologi dan Angkasa.

"Tema rentas kluster pula terdiri daripada Kreativiti, Inovasi, Komunikasi Sains, Keselamatan, Ekonomi, Kesejahteraan Rakyat, Kerjasama Antarabangsa, Pembudayaan dan Kesedaran serta Kelestarian Alam - 41R,” menurut MOSTI dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Bertemakan ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’, MSN kini kembali lagi untuk tahun kelima dengan penjenamaan semula kepada MSN Keluarga Malaysia 2022.

Menurut kenyataan itu, pemilihan tema tersebut adalah sejajar dengan hasratnya untuk menjadikan sains sebagai suatu perkara yang lazim dalam kalangan rakyat selain menjadikan teknologi sebagai pemangkin ekonomi.

Iklan

"MSN Keluarga Malaysia 2022 merupakan platform mendukung usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai saintis dan penyelidik pada masa hadapan.

"Ia akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian dengan penganjuran lebih 110 aktiviti dan program menarik antaranya pertandingan, seminar, ceramah, kuiz, pameran maya, bengkel maya, pelantikan ikon bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), virtual explore race, pertandingan menghasilkan video serta sesi 'meet and greet' secara maya,” menurut kenyataan itu.

MSN kali ini turut memberi fokus terhadap pembabitan pelajar sekolah dan IPT selain pendidikan dan pembudayaan STI perlu disemai daripada peringkat sekolah rendah bagi menarik minat pelajar dalam bidang berkaitan.

"Ini selari dengan usaha mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 yang menuntut pembaharuan atau penemuan pelbagai teknologi dalam bidang seperti robotik automasi, penjanaan kuasa elektrik, kecerdasan buatan (AI), realiti berperantara (AR) dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.

Pendaftaran dan bagi mengikuti aktiviti serta program yang dijalankan secara dalam talian, peserta boleh layari portal rasmi MSN Keluarga Malaysia 2022 di laman sesawang www.minggusainsnegara.com. - Bernama