Lebih 100 gelandangan dapat pekerjaan

Iklan
Trina (kiri) bertukar MoU dengan Mohamed Azman (kanan) sambil disaksikan Saravanan (tengah), Zainal (dua dari kiri) dan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso, Azirruan Arifin (dua dari kanan) di Menara Perkeso pada Isnin. -FOTO ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Lebih 100 gelandangan telah diterima bekerja dipelbagai sektor di seluruh negara menerusi kerjasama My Qaseh Sdn Bhd dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, program ini adalah kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan program PenjanaKerjaya yang telah membantu lebih 221,966 individu untuk mendapatkan pekerjaan pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah itu juga melepasi sasaran awal iaitu seramai 200,000 individu.

"Pada tahun ini, Kementerian Sumbar Manusia (KSM) mensasarkan untuk melaksanakan sebanyak 300,000 penempatan pekerjaan menerusi inisiatif ini,” katanya pada sidang akhbar majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), My Qaseh Sdn Bhd dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Menara Perkeso pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif My Qaseh Sdn Bhd, Trina Thomas Raj; Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengarah My Qaseh, Zainal Baharuddin.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, isu gelandangan berlaku apabila sebahagian daripada mereka berhijrah daripada kampung ke bandar tetapi gagal mendapatkan pekerjaan.

Iklan

"Pada penghujung tahun lalu pula, Perkeso telah bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara Zon Selatan menyantuni seramai 50 orang gelandangan.

"Sesi pemprofilan ini berjaya mengenal pasti keperluan golongan gelandangan khususnya yang melibatkan aspek pekerjaan seperti maklumat jenis kerjaya yang diperlukan dan sebagainya.

Beliau berkata, banyak organisasi di seluruh dunia bergiat secara aktif untuk turun padang membantu menyalurkan bantuan kepada golongan terbabit.

Tambahnya, Inisiatif Sifar Gelandangan yang diinspirasikan oleh My Qaseh merupakan satu program yang amat baik terutamanya dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk membasmi golongan gelandangan di negara ini.

"Golongan ini perlu segera dibantu dengan apa jua cara agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tidak dibendung sekarang, isu gelandangan pasti menjadi cabaran sosial yang lebih besar buat negara pada masa akan datang.

"Saya percaya inisiatif seperti Sifar Gelandangan ini boleh diperkukuh dengan penglibatan dan sokongan daripada banyak pihak seperti kerajaan, swasta, badan bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya,” katanya.